Kementerian Sumber Manusia
Bangunan Kementerian Sumber Manusia

KUALA LUMPUR — Lebih 9.6 juta pencarum dijangka menerima manfaat menerusi Skim Lindung 24 jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) .

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan berkata, ia sekaligus menutup kelompangan perlindungan sedia ada dengan menyelesaikan 12,306 tuntutan kemalangan yang ditolak sejak 2023 hingga Oktober lalu kerana diklasifikasikan berlaku di luar waktu bekerja.

Katanya, skim berkenaan meliputi semua pekerja formal yang mencarum dengan PERKESO dan menawarkan pelbagai faedah komprehensif termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT),Elaun Layanan Sentiasa (ELS) serta Faedah Pengurusan Mayat (FPM).

“Selain itu, skim ini turut menyediakan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan kemudahan pinjaman pendidikan bagi membantu pekerja serta keluarga menghadapi kesan kewangan akibat kemalangan dan hilang upaya,” demikian menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan, pelaksanaan Skim Lindung 24 jam turut dijangka dapat mengurangkan beban kewangan pekerja dan keluarga dalam urusan rawatan serta pemulihan, di samping menetapkan standard baharu perlindungan sosial negara yang lebih setara dengan amalan negara maju.

Jelasnya, pelaksanaan skim berkenaan akan dipantau secara rapi bagi memastikan keberkesanan, ketelusan serta penyampaian manfaat yang cepat, adil dan berintegriti kepada semua pekerja selepas ia dikuatkuasakan kelak.

Terdahulu, Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 [Akta 4] yang memperkenalkan Skim Lindung 24 jam di bawah PERKESO, sekali gus memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara selaras dengan keperluan pasaran buruh masa kini.

Rang undang-undang yang dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, itu menandakan fasa baharu usaha Kerajaan Madani melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memastikan perlindungan pekerja lebih menyeluruh dan inklusif.

KESUMA  berkata, Pindaan Akta 4 tersebut memperkenalkan perlindungan kemalangan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, tanpa had waktu bekerja, sejajar dengan perubahan corak pekerjaan yang semakin mengamalkan model kerja hibrid serta aturan kerja anjal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast