KUALA LUMPUR – Semua timbalan menteri yang baharu dilantik diingatkan untuk memelihara hubungan baik dengan semua pihak, bukan sahaja di peringkat kementerian dan agensi malah merangkumi seluruh lapisan masyarakat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, aspek komunikasi sangat penting dan perlu diperkasa secara berterusan supaya maklumat dapat disampaikan dengan jelas, tepat dan sampai ke semua lapisan masyarakat.
Katanya, ia selaras dengan aspirasi kerajaan MADANI yang berteraskan keterangkuman dan kebertanggungjawaban.
“Amanah dan tanggungjawab yang dipikul ini perlu digalas sebaik-baiknya agar setiap dasar dan polisi Kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat nyata kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, sebanyak tujuh menteri termasuk dua lantikan baharu serta lapan timbalan menteri lantikan baharu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim susulan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI. -MalaysiaGazette
















