Sunway Square Mall yang bakal dibuka September tahun ini.

KUALA LUMPUR – Pusat beli belah, Sunway Square Mall menarik balik dasar membenarkan pengunjung membawa haiwan peliharaan ke dalam premis berkenaan.

Pusat membeli belah yang terletak di Subang itu menjelaskan, keputusan tersebut diambil selari dengan kenyataan yang dibuat Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim yang mengatakan haiwan peliharan tidak dibenarkan berada di dalam pusat beli belah di negeri berkenaan.

“Selaras dengan arahan ini, haiwan peliharaan tidak dibenarkan di dalam kawasan tertutup Sunway Square Mall bagi memastikan persekitaran yang selamat, bersih dan selesa untuk semua pengunjung,” katanya.

Bagaimanapun katanya, haiwan peliharaan dibenarkan berada di kawasan khas terbuka atau dikenali sebagai Squarrel’s Playground yang terletak di Sunway South Quay Lake.

Haiwan tersebut mesti diiringi pemilik mereka semasa mengakses kawasan terbuka berkenaan menerusi parkir kenderaan di B3 dan B4.

Dalam masa yang sama, Sunway Square Mall turut memohon maaf di atas sebarang ketidakselesaan dan dalam masa sama merakam penghargaan kepada masyarakat yang memahami keputusan  itu.

Semalam, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim menegaskan kerajaan Selangor akan terus melarang haiwan peliharaan dibawa masuk ke pusat beli-belah.

Sunway Square Mall yang baru dibuka itu hangat diperkatakan di media sosial apabila dipromosikan sebagai pusat beli-belah pertama di Malaysia yang membenarkan pengunjung membawa haiwan peliharaan masuk ke premis secara rasmi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast