KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) milik Permodalan Nasional Berhad mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Agihan ini melibatkan pembayaran sebanyak RM10.4 bilion yang memanfaatkan 11.4 juta pemegang unit ASB.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, jumlah pengagihan tahunan tertinggi yang dibayar sejak penubuhan dana tersbeut.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif pengagihan pendapatan ASB sebanyak RM206.7 billion, mencerminkan ketahanan dan kekuatan portfolio pelaburan ASB,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengiraan pengagihan pendapatan ASB berdasarkan purata baki minimum bulanan yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut.
Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2026.
Transaksi bagi ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, akan digantung sementara dari 27 hingga 31 Disember 2025.
Pemegang unit boleh menyambung semula transaksi melalui semua saluran dalam talian dan perbankan internet bermula 1 Januari 2026, dan di mana-mana cawangan dan ejen ASNB mulai 2 Januari 2026. – MalaysiaGazette
















