Bayi Wan Ahmad Fayshal yang berusia sebulan akan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara, hari ini. Gambar: Facebook Wan Ahmad Fayhsal.

KUALA LUMPUR – Anak kepada Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal dijadualkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.

Perkongsian itu dibuat oleh Wan Ahmad Fayshal menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya dengan memuat naik sekeping gambar anaknya yang telah bersedia untuk menjalani prosedur berkenaan.

Menurut beliau, anaknya, Wan Nur Firasah yang kini berusia sebulan setengah, akan menjalani pembedahan tersebut bagi merawat masalah jantung yang dihadapinya.

“Insya-Allah esok (hari ini), anakanda kami Wan Nur Firasah yang kini berusia sebulan setengah akan menjalani pembedahan jantung di IJN.

“Dengan penuh rendah hati, saya memohon doa daripada rakan-rakan dan kenalan semua agar Allah mempermudahkan segala urusan serta prosedur yang akan dilalui oleh beliau.

“Semoga pembedahan berjalan lancar dan berjaya, serta dikurniakan kesembuhan yang sempurna daripadaNya,” katanya di laman sosial itu.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati, orang ramai menitipkan doa agar pembedahan berkenaan dipermudahkan dan bayi tersebut dikurniakan kesembuhan serta kesihatan yang baik. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast