KUANTAN – Bau busuk telah membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga emas dalam keadaan mereput di sebuah rumah teres di Lorong Seri Inderapura 27, Taman Sri Inderapura, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan dibuat jiran mangsa pada pukul 8.47 malam.
“Pemeriksaan yang dijalankan telah menemui satu badan terbaring di atas kerusi diruang tamu.
“Badan simati di dapati dalam proses membengkak dan berulat serta dianggarkan sudah beberapa hari meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya lagi, mangsa dikenalpasti sebagai Lim Jin, 78 berstatus bujang dan tinggal berseorang di rumah terbabit sejak 30 tahun lepas.
Jelas Ashari, tiada sebarang perbuatan berunsur jenayah dikesan berlaku di mana rumah mangsa didapati dalam keadaan berkunci baik dan pihak polis terpaksa memecahkan pintu rumah untuk mengeluarkan mayatnya.
“Pemeriksaan lanjut dijalankan turut menemui beberapa jenis ubat milik simati. Semakan dengan pihak perubatan mendapati ubat berkenaan adalah untuk rawatan penyakit darah tinggi, sakit jantung, ubat kolestrol dan juga kanser prostat.
“Hasil siasatan yang dijalankan dapati punca kematian simati adalah disebabkan penyakit dan tidak melibatkan perbuatan jenayah,” jelasnya lagi.
Beliau berkata, mayat mangsa seterusnya dibawa ke jabatan forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk disimpan sementara dalam peti mayat
Ashari berkata, pihaknya kini berusaha mengesan waris simati untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette
















