KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli digesa membetulkan dasar yang tidak munasabah yang didakwa menafikan pengecualian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan kelas pertama institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Pemuda MCA, Ong Chee Siang berkata, bekas mahasiswa itu perlu membuktikan beliau memperjuangkan nasib mahasiswa secara adil.
“Beliau ialah seorang pemimpin politik yang amat memahami selok-belok isu ini. Justeru, masyarakat meletakkan harapan yang lebih tinggi terhadap prestasinya di Kementerian Pendidikan Tinggi, kerana beliau diyakini lebih memahami tekanan dan realiti kesukaran yang ditanggung pelajar akibat pinjaman pendidikan.
“Beliau juga perlu mengambil tindakan pragmatik dengan menyemak dan membetulkan dasar tidak munasabah yang menafikan pengecualian PTPTN kepada graduan kelas pertama IPTS, demi memperjuangkan layanan yang adil untuk mahasiswa, dan bukannya membiarkan dasar tidak adil ini terus wujud sehingga menimbulkan lebih banyak rasa tidak puas hati dan kekecewaan,” katanya menerusi kenyataan.
Chee Siang juga berharap Adam tidak mengulangi kesilapan sesetengah menteri dan timbalan menteri DAP yang hanya memanipulasi isu pinjaman pendidikan semasa pilihan raya untuk membangkitkan emosi, memperdaya rakyat dan meraih undi.
Sedangkan, katanya, rakyat ingin melihat dasar dan tindakan yang mampu mengubah keadaan pelajar, bukannya sekadar slogan.
Tambahnya, sekiranya Adam Adli mampu menunaikan janji lamanya, ia membuktikan bahawa bekas aktivis mahasiswa itu benar-benar ikhlas memperjuangkan kebajikan penuntut universiti.
“Diharapkan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu tidak mengulangi kesilapan sesetengah menteri dan timbalan menteri daripada DAP yang hanya memanipulasi isu pinjaman pendidikan semasa pilihan raya untuk membangkitkan emosi, memperdaya rakyat dan meraih undi, namun selepas pilihan raya mengelak daripada mengotakan janji.
“Pendidikan membentuk masa depan negara, dan kepimpinan Kementerian Pendidikan Tinggi harus mengutamakan kebajikan pelajar.
“Sekiranya Adam Adli hari ini dapat menunaikan janji lama dalam kerangka sistem sedia ada, benar-benar meringankan beban pelajar dan membetulkan dasar yang tidak adil, maka itu pastinya satu perkara yang baik, malah merupakan satu langkah penting dalam pembaharuan pendidikan tinggi negara,” katanya lagi.
Ujarnya, MCA akan terus memantau dan memberi perhatian terhadap perkembangan dasar berkaitan pendidikan tinggi, serta menantikan agar Adam membuktikan kata-katanya sebelum ini.
Rombakan Kabinet baru-baru ini menyaksikan Adam dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi selepas memegang jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Pelantikannya itu dilihat mencetuskan perdebatan pelbagai pihak kerana Adam sebelum ini dilihat sebagai aktivitis yang tegar memperjuangkan kebajikan mahasiswa khususnya berkaitan pemansuhan dan pengecualian bayaran balik PTPTN, serta menuntut pendidikan universiti percuma. – MalaysiaGazette
















