Pasangan suami isteri Rozaidy Mohamed Wardapi dan Siti Zarah Masri menunjukkan penghalang banjir diperbuat daripada kayu plywood dan plastisin.

KUANTAN – Berbekalkan peruntukan RM70, tiga sekeluarga yang tinggal di perumahan PR1MA Sungai Karang, di sini mampu menarik nafas lega apabila kesan banjir lumpur yang melanda rumah mereka baru-baru ini dapat dikurangkan.

Rozaidy Mohamed Wardapi dan isterinya Siti Zarah Masri masing-masing berusia 38 tahun memberitahu, ia merupakan percubaan kali kedua mereka mendirikan penghadang banjir di kesemua pintu masuk rumah itu yang baru diduduki sejak bulan Mei lepas.

“Banjir kali ini merupakan kali ketiga banjir lumpur di kawasan ni, tapi kali ni paling teruk. Air naik cepat sangat dalam masa 45 minit ke satu jam sahaja masa hujan lebat tu.

“Kali pertama kami hadap banjir ialah bulan 10. Masa tu memang terkejut sebab tak pernah menghadapi banjir sebelum ini. Lepas kali pertama tu, kami ambil langkah pencegahan buat penghalang macam ni juga ketika banjir bulan 11, tapi tak berjaya. Air lumpur tetap masuk,”katanya ketika ditemui di sini.

Rozaidy Mohamed Wardapi (kanan) dan isteri Siti Zarah Masri (kiri)

 

Bimbang kejadian sama berulang, kali ini, kedua pasangan itu berkata, mereka mengambil langkah drastik dengan menempah beberapa keping kayu plywood di kedai menjual perkakas rumah dan melekatkannya dengan plastisin di kesemua pintu terbabit.

Rozaidy yang bekerja sebagai Konsultan Lebuh Raya berkata, beberapa beg pasir turut diletakkan di hadapan kayu itu bagi tujuan menampan air.

“Penat sangat dah nak membasuh lumpur masa kejadian pertama bulan 10 tu sampai terpaksa panggil bantuan. Jadi, kami terpaksa fikir langkah kreatif kali ini,” katanya lagi.

Tindakan sama turut dilakukan Zulsyafiq Zolkharnain, 31 yang mula menetap di rumah itu sejak bulan Jun lepas dengan isteri dan seorang anak, namun dia membelanjakan lebih RM2,000.00 untuk menempah penghalang jenis besi.

Zulsyafiq meletakkan penghalang banjir di pintu masuk rumah, elak lumpur masuk.

 

Zulsyafiq berkata, dia terkejut apabila kawasan itu dilanda banjir lumpur ketika pertama kali pada bulan Oktober lepas.

“Sepanjang hidup saya tak pernah berdepan situasi banjir sebab dulu saya tinggal di Batu Hitam. Ketika kali pertama banjir hari tu memang saya terkejut.

“Jadi sebab dah kena banjir lumpur dua bulan berturut-turut, kali ini saya tempah ‘flood barrier’ ni. Berkesan la, kurang masuk lumpur, cuma air banjir masih masuk. Tapi air berlumpur tetap masuk ikut tandas,” jelasnya.

Dia meluahkan perasaan ralat kerana tidak mengetahui situasi sebenar kawasan rumah yang baru dibeli itu, ditambah pemaju  tidak mempunyai solusi segera bagi mengatasi kejadian banjir lumpur berlaku.

Dakwanya, banjir lumpur kerap berlaku ekoran sistem saliran yang tidak sesuai, ditambah aktiviti menggali bauksit di bukit  berhampiran.

“Saya pernah bertanya kepada pemaju kenapa tak buat longkang besar. Katanya sudah melebihi peruntukan untuk projek PR1MA. Takkanlah kami pula nak buat longkang?,” soalnya.

Zulsyafiq Zolkharnain

Justeru, Zulsyafiq menyeru pihak berwajib agar campur tangan dan mencari penyelesaian bagi mereka yang terkesan akibat banjir lumpur.

Pendapat sama dikongsi Wan Rafiah Wan Mazlan, 44 yang turut terkesan akibat banjir lumpur di rumah baru diduduki sejak bulan September lepas.

“Kabinet, karpet semua dah rosak. Tak tahu nak cakap berapa kerugian. Monsun Timur Laut (MTL) ni sampai bulan 3 pulak tu.

“Kalau boleh, buat la sistem saliran yang bersesuaian. Longkang sedia ada kecil dan rendah, tak dapat tampung kalau hujan lebat,” katanya.

Anak Wan Rafiah Wan Mazlan iaitu Muhammad Irfan Zulkifli, 18 membersihkan lumpur dalam rumah mereka akibat banjir baru-baru ini

Ketika tinjauan MalaysiaGazette, penduduk yang terkesan akibat banjir baru pulang daripada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan giat melakukan kerja-kerja membersihkan lumpur di dalam rumah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast