Prestasi perdagangan Malaysia terus mengukuh pada November 2025.

KUALA LUMPUR – Prestasi perdagangan Malaysia terus mengukuh pada November 2025, dengan nilai perdagangan mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 11.1% tahun ke tahun kepada RM263.83 bilion.

Eksport meneruskan aliran menaik untuk bulan kelima berturut-turut, meningkat 7.0% kepada RM134.97 bilion manakala import mengembang 15.8% kepada RM128.86 bilion.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, lebihan dagangan berjumlah RM6.12 bilion direkodkan, merupakan lebihan dagangan yang ke-67 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan eksport, meningkat hampir RM8.0 bilion, sejajar dengan prospek
positif bagi industri semikonduktor global.

World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) telah menyemak naik unjuran bagi pertumbuhan jualan semikonduktor global tahun 2025 kepada 22.5% (unjuran terdahulu: 15.4%).

Barangan lain yang turut menyumbang kepada pertumbuhan eksport adalah barangan optik dan saintifik serta bijih logam dan serpihan logam yang mencerminkan kekuatan eksport yang meluas merentasi pelbagai sektor.

Pertumbuhan eksport direkodkan ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan. Momentum kukuh eksport terus direkodkan ke negara rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), dengan kenaikan ketara direkodkan ke Hong Kong SAR, Mexico, Emiriah Arab Bersatu (UAE), India, United Kingdom (UK), Chile dan Peru. Eksport ke Taiwan, khususnya, melonjak ke paras tertinggi pernah dicatatkan.

Bagi tempoh Januari hingga November 2025, Malaysia merekodkan nilai kumulatif tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import.

Perdagangan meningkat 5.8% kepada RM2.775 trilion, eksport bertambah 6.1% kepada RM1.454 trilion manakala import mengembang 5.6% kepada RM1.321 trilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM132.56 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast