Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa mendakwa terdapat segelintir pemimpin yang gagal menunjukkan kepekaan terhadap ancaman yang boleh menghakis dasar serta kontrak sosial negara.

Sebaliknya, golongan berkenaan sebaliknya terus mencari alasan untuk menormalisasikan kemaraan pihak yang disifatkan sentiasa cuba mencabar asas perjuangan yang dibina sejak sekian lama, kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu.

“Terdapat pemimpin yang sepatutnya menunjukkan sikap peka terhadap matlamat perjuangan partinya, namun kini terus menerus mencari alasan menormalisasikan kemaraan pihak yang selamanya cuba menghakis dasar dan kontrak sosial yang terbina selama ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Bbekas Menteri Kabinet itu tidak menamakan mana-mana individu yang dimaksudkan, sebaliknya menegaskan kebimbangan tersebut berpunca daripada sikap segelintir pemimpin yang didakwa semakin jauh daripada prinsip asal perjuangan.

Menurut beliau, kelompok itu disifatkan telah kehilangan ketegasan dan keupayaan mempertahankan dasar kerana terlalu selesa dengan kedudukan serta kepentingan peribadi masing-masing.

“Kelompok ini terus bersikap ‘ular air’ yakni ular yang sudah hilang bisanya, semata-mata kerana lena dalam zon selesa diri sendiri,” katanya.

Annuar turut mendakwa golongan berkenaan berpura-pura tidak menyedari ancaman yang semakin jelas di hadapan mata, walaupun implikasinya boleh menjejaskan kepentingan jangka panjang negara.

Beliau menegaskan keadaan itu berlaku apabila kepentingan diri diletakkan mengatasi prinsip dan dasar perjuangan parti yang sepatutnya dipertahankan.

“Demikianlah apabila kepentingan diri sudah mengatasi dasar perjuangan parti. Biar kedaulatan terjual. Biar dasar tergadai,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast