Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan ahli keluarga keluar selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan membebaskan beliau dari sabitan dan hukuman terhadap kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahahan wang haram, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 25 JUN 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR: Pasukan peguam menyerahkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan dan hukuman atas kesalahan penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Pihak pembelaan berpendirian, rayuan pendakwaan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, tidak bermerit dan wajar ditolak.

Sehubungan itu, pembelaan mahukan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan tersebut membebaskan Ahli Parlimen Muar itu seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik mewakili Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir bagi pendengaran rayuan empat tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berhubung penyelewengan dana Armada di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 DISEMBER 2025 (GAMBAR FAIL).

Pendirian itu dinyatakan oleh pasukan peguam Syed Saddiq melalui surat daripada firma guaman Mustafa Ling & Co yang dihantar kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, semalam.

Surat itu memuktamadkan pendirian pasukan pembelaan berkaitan nasihat dan pandangan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais ketika mengetuai panel tiga hakim mendengar rayuan itu pada 12 Disember lalu.

Selepas pihak-pihak menyelesaikan hujahan secara lisan, Hakim Abu Bakar menasihatkan dan mencadangkan supaya mereka mengambil sedikit masa dan peluang untuk menilai semula kedudukan mengenai rayuan itu.

“Pihak kami terlebih dahulu dengan penuh takzim dan rendah diri ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan serta menghargai kebijaksanaan hakim panel rayuan di dalam memberikan cadangan yang bernas dan bijaksana.

“Kami turut mendalami nasihat dan pandangan yang diutarakan oleh Yang Amat Arif, Presiden Mahkamah Rayuan. Pihak kami turut berhubung dan berbincang dengan pihak perayu (pendakwaan) dan menasihati anak guam kami mengenai pandangan dan nasihat berkenaan.

“Dengan penuh rasa hormat, takzim dan rendah diri sesungguhnya kami menyatakan rayuan perayu bagi ketiga-tiga kes adalah tidak bermerit dan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan panel rayuan untuk membuat keputusan yang bijaksana dan adil bagi pihak-pihak dalam prosiding ini.

“Oleh yang demikian, pihak kami berharap pihak puan (timbalan pendaftar) akan mengangkat kepada perhatian Yang Amat Arif, Yang Arif-Yang Arif hakim panel rayuan mengenai hasil perbincangan ini,” demikian menurut surat itu yang diperoleh pihak media hari ini.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada media berkenaan pendengaran dan rayuan terhadap sabitan dan hukuman bagi empat kesalahan pecah amanah berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 17 APRIL 2025 (GAMBAR FAIL)

 

Pada 25 Jun lalu, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada tuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

Dua hari lalu, pendakwa raya mengekalkan rayuan untuk mengetepikan pembebasan Syed Saddiq yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, perkara itu dimuktamadkan selepas pasukan itu berbincang dengan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar.

Menurut Wan Shaharuddin, Peguam Negara telah mengarahkan rayuan itu diteruskan dan bersedia menerima apa jua keputusan Mahkamah Persekutuan.

Ujar beliau, arahan itu dimuktamadkan dalam surat bertarikh hari yang sama (17 Disember) yang dihantar menerusi emel kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan yang turut diperoleh pihak media sejurus pemfailan disempurnakan pada hari itu.

Pada 12 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk memuktamadkan pendirian sama ada untuk meneruskan atau menarik balik rayuan terhadap Ahli Parlimen Muar itu.

Hakim Abu Bakar memberikan `tempoh bertenang’ bagi membolehkan pihak pendakwaan berbincang dan mencapai kata sepakat sebelum mahkamah menentukan tarikh keputusan rayuan tersebut.

Arahan di luar kebiasaan itu dibangkitkan oleh Hakim Abu Bakar ketika bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas mendengar rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast