Dr Muhamad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkongsi kaedah tentang bagaimana untuk mengetahui sama ada doktor yang merawat mereka ialah doktor palsu atau sebaliknya.

Menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini, Dr. Muhamad Akmal berkata, pengesahan itu boleh dibuat menerusi laman sesawang Majlis Perubatan Malaysia (MMC) di merits.mmc.gov.my.

Menurut beliau, sekiranya tiada nama atau tiada nombor pendaftaran penuh terpapar pada laman sesawang itu, maka mereka bukan doktor yang layak untuk mempraktikkan kepakaran di negara ini.

“Termasuklah jika ada orang beritahu yang dia adalah doktor perubatan, boleh check di website ini untuk memastikan sama ada benar ataupun dia menipu sebagai seorang doktor perubatan.

“Doktor falsafah kena check di website lain ya, ini hanya doktor perubatan sahaja dan alhamdulilah saya adalah doktor yang sah dan tidak tipu tau,” katanya.

Terdahulu, gelaran `doktor’ pada nama Dr. Mohammed Taufiq Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani kembali menjadi pertikaian di dalam media sosial susulan pelantikannya sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Beberapa pihak sebelum ini mendakwa, Mohammed Taufiq tidak tersenarai sebagai doktor yang sah menerusi carian di laman web MMC termasuk didakwa tidak wujud dalam daftar kedoktoran di Indonesia tempat beliau melanjutkan pengajian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast