Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Tangisan tanpa henti seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dipercayai menjadi punca dia dipukul oleh anak pengasuh di sebuah rumah di Batu Muda, di sini, Selasa lalu hingga menyebabkan lebam pada mata kirinya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila tangisan mangsa mengganggu suspek yang sedang berehat di rumah berkenaan.

Menurut beliau, suspek berusia 18 tahun yang juga anak kepada pengasuh kanak-kanak tersebut telah ditahan semalam dan direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Kanak-kanak itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Wad Kanak-Kanak, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, kes disedari selepas ibu mangsa datang ke rumah pengasuh untuk mengambil anaknya sebelum mendapati mata kiri kanak-kanak berkenaan cedera dan lebam.

Beliau berkata, ibu bapa mangsa kemudiannya membawa kanak-kanak itu ke HKL untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai memukul mangsa ketika berada di rumah pengasuh tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast