KUALA LUMPUR – Hotel dan premis makanan yang mempunyai pensijilan halal dibenarkan mempamerkan hiasan Krismas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Beliau menjelaskan bahawa tiada sekatan terhadap pemegang pensijilan halal daripada mempamerkan hiasan perayaan yang berkaitan dengan agama selain Islam, selagi standard halal dipatuhi.
“Kedudukan ini selaras dengan keputusan yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2023, yang menetapkan bahawa pemegang Pensijilan Halal Malaysia (SPHM) tidak dilarang menggunakan imej, ilustrasi atau hiasan yang berkaitan dengan sambutan keagamaan bukan Islam.
“Namun, hiasan tersebut tidak boleh menjejaskan prinsip halalan thoyyiban,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, hiasan perayaan yang tidak bersifat kekal atau imej pada produk makanan adalah dibenarkan, namun penggunaan peralatan ibadat keagamaan adalah dilarang sama sekali.
Katanya, hiasan di premis juga tidak boleh melibatkan pensijilan SPHM atau logo halal.
Zulkifli berkata, perkara ini turut terpakai kepada hiasan perayaan di dapur atau outlet hotel yang memegang pensijilan SPHM.
“Saling menghormati kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia merupakan ciri utama masyarakat berbilang kaum negara ini, dan pemain industri digalakkan untuk terus mematuhi standard halal sedia ada tanpa menjejaskan keharmonian kaum dan agama,” katanya.
Hotel dan premis makanan yang mempunyai pensijilan halal turut dinasihatkan supaya merujuk kepada pihak berkuasa pensijilan halal yang berkaitan bagi mendapatkan penjelasan dan panduan sekiranya perlu, bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap standard halal negara.
Zulkifli berkata, kerjasama erat antara pihak berkuasa agama Islam negeri, Jakim dan pemain industri amat penting bagi memastikan dasar serta garis panduan halal dilaksanakan secara berhemah, di samping melindungi kepentingan umat Islam dan keharmonian masyarakat secara keseluruhan. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















