Logo Polis Diraja Malaysia

SHAH ALAM – Seorang ibu dan anak perempuannya ditahan polis kerana disyaki mengeksploitasi dua wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan buruh paksa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, tangkapan ke atas kedua-dua wanita yang dikenal pasti sebagai majikan mangsa dibuat susulan serbuan di sebuah rumah di Kayangan Heights, pada Khamis kira-kira jam 2.30 petang.

“Bertindak atas maklumat, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menjalankan serbuan dan berjaya menyelamatkan dua mangsa berusia 33 dan 48 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mendedahkan, hasil temu bual mendapati seorang mangsa telah bekerja dengan majikannya selama dua tahun, manakala seorang lagi baru bekerja selama sebulan.

“Kedua-dua mangsa mendakwa telefon bimbit dan pasport mereka dirampas, dipaksa bekerja lebih masa, kerap dipukul serta tidak dibayar gaji sejak dua bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan perintah reman selama tiga hari terhadap kedua-dua suspek bermula semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) yang memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Md Anuar Md Amilah @ Harun di talian 019-225 5597. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast