Kira-kira 180 wakil IPT berstatus swaakreditasi menghadiri Sesi Libat Urus MQA di sini.

PUTRAJAYA – Kerangka Audit Kualiti Institusi atau Institutional Quality Audit Framework (IQAF) 2025 akan menjadi asas utama penilaian audit institusi pendidikan tinggi (IPT) bermula 2026, sekali gus menuntut tahap pematuhan dan akauntabiliti yang lebih tinggi daripada institusi pendidikan tinggi (PPT), khususnya institusi berstatus swaakreditasi.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman berkata, pelaksanaan IQAF 2025 yang menggantikan dokumen Kod Amalan Audit Institusi (COPIA) 2009 itu menandakan anjakan penting dalam usaha memperkukuh integriti dan kelestarian sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi negara.

“Bermula tahun 2026, IQAF akan menjadi asas utama penilaian audit IPT. Institusi yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan berisiko dikenakan tindakan pembatalan Perakuan Status Swaakreditasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Sesi Libat Urus Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bersama Pemberi Pendidikan Tinggi Berstatus Swaakreditasi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran; Timbalan CEO (Jaminan Kualiti), Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan; Timbalan CEO (Pengurusan) MQA, Halinordina Mat Saat; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa; Pengarah Kanan (Akreditasi) MQA, Mohd Khairul Nizam Ibrahim dan Pengarah Bahagian Audit Institusi, Mazlinawati Mohamed.

Menurut Azlinda, status swaakreditasi bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya merupakan amanah besar yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kepada IPT yang diyakini berkeupayaan mengurus sistem jaminan kualiti secara autonomi.

“Kepercayaan ini perlu dipelihara dengan penuh disiplin, integriti dan ketelusan. Tiada kompromi terhadap pematuhan standard akademik dan kualiti.

“IPT berstatus swaakreditasi perlu terus menjadi peneraju dan perintis dalam membangunkan sistem jaminan kualiti dalaman yang kukuh, mampan serta responsif terhadap cabaran global, selari dengan autonomi yang diberikan,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, keputusan mengenakan moratorium selama tiga hingga lima tahun terhadap permohonan baharu status swaakreditasi bermula Mac 2024, dibuat berdasarkan analisis menyeluruh tahap pematuhan kualiti bagi memastikan integriti sistem pendidikan tinggi negara terus terpelihara.

Beliau berkata, sepanjang tempoh moratorium itu, pihaknya akan melaksanakan langkah pengukuhan jaminan kualiti ke atas IPT swaakreditasi sedia ada, dengan prestasi institusi dinilai secara berterusan sebagai penentu hala tuju dan standard pelaksanaan swaakreditasi pada masa hadapan.

Katanya, prestasi institusi inilah yang akan menentukan tempoh moratorium dan masa depan sistem swaakreditasi di Malaysia.

“KPT dan MQA akan terus menyokong inisiatif penambahbaikan yang proaktif, namun pada masa sama tidak akan berkompromi dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan kualiti demi kepentingan awam.

“Bagi memastikan aspek kualiti berada pada tahap maksimum pada masa akan datang, proses penilaian akan dilaksanakan secara lebih ketat dan menyeluruh, justeru mana-mana IPT berstatus swaakreditasi yang gagal mencapai tahap kecemerlangan seperti yang dihasratkan akan dikenakan tindakan pembatalan status swaakreditasi.

“IPT berstatus swaakreditasi perlu tampil sebagai contoh kecemerlangan dalam jaminan kualiti dan bersedia sepenuhnya menghadapi cabaran pelaksanaan IQAF bermula 2026 seterusnya membantu merelisasikan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast