KUALA LUMPUR – Perdana Menteri dan isterinya menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berikutan kematian ibunya, Halimah Yaacob, malam ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mendoakan roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, diterima seluruh amal kebajikan, dan ditempatkan dalam kalangan para solihin serta orang-orang yang beriman.
“Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan, kekuatan jiwa dan ketenangan hati kepada Dr. Zaliha serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian yang berat ini. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Dr. Zaliha menerusi perkongsian di Facebook berkata, ibunya menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.23 malam tadi.
“Hari duka buat kami sekeluarga. Mak telah pergi buat selama-lamanya pada jam 8.23 malam tadi. Tiada lagi gurau senda dan doa Mak. Tiada kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini.
“Saya mohon doa daripada semua agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Mak, mengampunkan segala dosanya, menerima segala amal kebaikannya dan menempatkan Mak dalam kalangan orang-orang yang beriman. Semoga Allah mengurniakan ketenangan dan kekuatan kepada kami sekeluarga untuk menghadapi saat yang amat berat ini,” tulis beliau. – MalaysiaGazette
















