Wakil PGSM Pahang dan YBGK bergambar di Kompleks Kehakiman Syariah Pahang selepas sesi taklimat berhubung peluasan khidmat Bantuan Guaman Percuma.

KUANTAN – Perkhidmatan Bantuan Guaman Percuma akan diperluas bagi kes jenayah syariah di Negeri Pahang menerusi kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia Pahang (PGSM Pahang) dan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Timbalan Pengerusi PGSM Pahang, Abdullah Hakim Ahmad berkata, ia langkah positif bagi memastikan semua golongan masyarakat, bukan sahaja melibatkan kes jenayah di Mahkamah Sivil tetapi juga dalam kes jenayah syariah, mendapat pembelaan sewajarnya.

Beliu berkata, taklimat berhubung pelaksanaannya telah dipengerusikan sendiri oleh Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, Datuk Abdul Walid Abu Hassan, sekali gus memperlihatkan sokongan penuh pihak Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang terhadap usaha memperkukuh akses masyarakat kepada keadilan di Mahkamah Syariah.

“Taklimat disampaikan oleh Pegawai Eksekutif YBGK, Nurakmal Farhan Aziz yang menghuraikan peranan serta skop perkhidmatan YBGK dalam menyediakan bantuan guaman bagi semua kategori kesalahan jenayah syariah di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Pahang.

“Kehadiran pelbagai pihak berkepentingan turut mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh sistem keadilan syariah di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Abdullah Hakim, PGSM Pahang dipertanggungjawabkan sebagai Sekretariat Bantuan Guaman Percuma YBGK bagi Negeri Pahang.

Pihaknya menjangkakan seramai 50 orang peguam syarie akan mengikuti kursus sebagai peguam panel YBGK yang mula memberikan khidmat seawal tahun 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast