Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat menggesa Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari tampil memberikan penjelasan berhubung isu penggunaan gelaran ‘Dr’ yang didakwa tidak sah serta dakwaan mengamalkan perubatan tanpa kelulusan sewajarnya.

Menurut Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff, isu berkenaan timbul selepas semakan mendapati nama Mohammed Taufiq tidak tersenarai dalam laman web Majlis Perubatan Malaysia (MMC), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesahihan penggunaan gelaran ‘doktor’ oleh menteri terbabit.

“Taufiq Johari tidak mendaftar diri dengan MMC dan tiada Annual Practising Certificate (APC) yang sah. Maka dia tak boleh mengamalkan perubatan dalam negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan sikap senyap Mohammed Taufiq sejak isu itu dibangkitkan dan menegaskan menteri berkenaan perlu tampil memberikan jawapan yang jelas kepada orang ramai.

“Sejak isu ni tersebar, Mohammed Taufiq terus senyap sehingga ke hari ini. Mohammed Taufiq perlu tampil dan berikan jawapan. Kalau ya, kata ya, kalau tidak kata tidak,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim dilaporkan berkata kontroversi penggunaan gelaran ‘doktor’ oleh Mohammed Taufiq perlu ditangani berdasarkan fakta, dokumen serta kerangka undang-undang bukan didorong emosi atau kecenderungan politik.

Menurut Jais Abdul, isu itu menyentuh soal integriti sistem, pematuhan undang-undang serta keselamatan awam, khususnya melibatkan profesion perubatan yang berkait rapat dengan nyawa manusia.

Dalam pada itu, Nurul Islam berkata, terdapat pihak yang berkongsi sijil perubatan Mohammed Taufiq dan memaklumkan beliau memperoleh ijazah perubatan dari Universitas Islam Bandung, Indonesia dengan hujah bahawa seseorang masih boleh menggunakan gelaran ‘doktor’ walaupun tidak berdaftar untuk mengamalkan perubatan di Malaysia.

Bagaimanapun, Nurul Islam mendakwa universiti berkenaan tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia berdasarkan semakan yang dibuat melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan MMC.

“Untuk makluman, Universitas Islam Bandung adalah sebuah universiti yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia. Aku dah buat semakan melalui MQA (e-sisraf) dan juga MMC,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa sijil perubatan yang tidak diiktiraf tidak boleh digunakan di Malaysia termasuk bagi tujuan penggunaan gelaran ‘doktor’.

“Bila sijil kau tak diiktiraf dan tak boleh digunapakai maka gelaran ‘doktor’ juga tidak boleh digunapakai. Simple as that,” katanya.

Nurul Islam turut membangkitkan dakwaan pengamalan perubatan oleh Mohammed Taufiq di Malaysia khususnya di sebuah klinik di Sungai Petani yang menurutnya bercanggah dengan Akta Perubatan 1971 Seksyen 20(7) kerana individu terbabit tidak berdaftar dengan MMC serta tidak memiliki APC yang sah.

“Mohammed Taufiq tidak pernah mendaftarkan diri dia dengan MMC. Dia tiada APC yang sah. Maka dia tidak boleh mengamalkan perubatan dalam negara,” katanya, sambil mendakwa kesalahan sedemikian boleh membawa kepada pendakwaan dan denda.

Beliau turut mendakwa, jika sabit kesalahan, perkara itu boleh menjejaskan kelayakan Mohammed Taufiq sebagai Ahli Parlimen dan seterusnya sebagai menteri.

“Kalau Taufiq Johari pun kena macam ni, dia akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen dan seterusnya hilang kelayakan sebagai menteri,” katanya.

Mengulas dakwaan Mohammed Taufiq tidak pernah mendakwa berkhidmat sebagai doktor di Malaysia, Nurul Islam menegaskan, perkara itu pernah dinyatakan dalam bahan kempen serta dilaporkan media semasa pilihan raya sambil mencadangkan satu laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast