Tema `Harmoni Dalam Kepelbagaian’ menjadi kerangka operasi baharu yang memandu pelaksanaan program Kementerian Perpaduan secara strategik. Foto: FB Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara berjaya melaksanakan sebanyak 762 program sepanjang tahun ini, dengan sebahagian besarnya merupakan inisiatif melibatkan penyertaan langsung masyarakat akar umbi.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kejayaan itu berteraskan empat fokus utama kementerian iaitu Ekosistem Perpaduan; Harmoni Madani; Eksplorasi Rukun Negara serta Pembangunan Komuniti Sosio-Budaya.

Menurutnya, tema kementerian bagi tahun ini iaitu `Harmoni Dalam Kepelbagaian’ telah menjadi kerangka operasi baharu yang memandu pelaksanaan program secara strategik.

Jelas beliau, ia khususnya dalam mengurus kepelbagaian identiti, memperkukuh hubungan antara penganut agama, serta memperluas penyertaan masyarakat majmuk yang kian kompleks dan dinamik.

Aaron Ago Dagang.

“Kejayaan Kementerian Perpaduan Negara pada tahun ini menegaskan satu perkara penting: perpaduan menuntut usaha yang konsisten, terancang dan berterusan, serta tidak boleh ditangguhkan.

“Dalam dunia yang semakin sarat dengan perbezaan ideologi, identiti agama dan budaya, soal keharmonian perlu diurus secara aktif melalui interaksi berterusan, pencegahan konflik serta penyediaan platform yang mempertemukan rakyat daripada latar belakang yang berbeza,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sehubungan itu, Aaron mengajak seluruh rakyat untuk terus menghayati beberapa prinsip asas secara bersama antaranya memahami, menghormati, menerima dan meraikan perbezaan antara kita.

Menurutnya, perpaduan bukan tentang menyeragamkan, sebaliknya menghargai kepelbagaian budaya, agama dan etnik yang menjadi kekuatan negara.

Selain itu, beliau turut mengajak seluruh rakyat menolak persepsi negatif dan stereotaip.

“Jangan menilai individu semata-mata berdasarkan etnik, agama atau bangsa, dan jangan biarkan prasangka mengaburkan pertimbangan serta hubungan sesama rakyat,” katanya.

Dalam masa sama, menurut Aaron, seluruh rakyat juga perlu menyedari bahawa perpaduan adalah kekuatan utama negara.

Jelasnya, apabila rakyat bersatu, pelbagai cabaran dapat dihadapi secara kolektif dan aspirasi negara bangsa dapat direalisasikan dengan lebih kukuh dan bermakna.

“Marilah kita menjadikan keharmonian dan perpaduan sebagai amalan harian demi masa depan Malaysia yang aman, inklusif dan sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast