TANGKAP layar video tular berkenaan kejadian seorang pelajar tahfiz dirotan berkali-kali oleh seorang lelaki.

KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil menyokong penuh ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang tidak berkompromi dalam memastikan kes rotan pelajar tahfiz dijalankan secara menyeluruh, adil, dan telus.

Menurut beliau, setiap dakwaan dalam kes sebegitu wajar ditangani mengikut lunas undang-undang demi menegakkan hak dan keadilan.

Tambahnya, pendekatan itu menekankan dimensi pendidikan  berhikmah selaras dengan contoh Rasulullah SAW yang tidak pernah memaki atau memukul sesiapa.

“Tindakan tegas terhadap sebarang salah laku adalah bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan pembinaan sahsiah anak-anak di bawah jagaan institusi pendidikan agama sentiasa terpelihara,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil. – Foto: JAKIM.

Kelmarin, Zulkifli memberi amaran bahawa tiada kompromi terhadap sebarang salah laku melibatkan pelajar, namun setiap siasatan perlu dijalankan secara telus dan berasaskan fakta.

Menurut beliau, kerajaan komited untuk memastikan sistem undang-undang dapat melindungi kebajikan pelajar dan pada masa yang sama memperkukuh aspek pendidikan, tarbiah dan pembinaan kerohanian bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

Terdahulu, tular di laman media sosial satu video berdurasi 48 saat yang memaparkan seorang murid lelaki yang dilihat sedang menahan kesakitan ketika dirotan oleh seorang lelaki di dalam bilik asrama di hadapan rakan-rakannya yang lain.

Polis kemudiannya mengesahkan kejadian itu berlaku di sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob, dekat Kulim, Kedah pada September lepas melibatkan seorang murid lelaki berusia 11 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast