Jalan di San Francisco bergelap akibat gangguan bekalan elektrik. Foto dari Facebook San Francisco Department of Emergency Management.

SAN FRANCISCO – Gangguan bekalan elektrik berskala besar melanda San Francisco pada hari Sabtu, menyebabkan seramai 130,000 penduduk terputus bekalan elektrik selama beberapa jam dan pembekal utama bandar itu menyatakan semua perkhidmatan akan pulih semula pada waktu malam.

Syarikat Pacific Gas & Electric (PG&E) dalam satu kenyataan di platform X memaklumkan, bekalan elektrik telah dipulihkan kepada kira-kira 90,000 isi rumah setakat jam 9 malam hari Sabtu, “dengan baki 40,000 pelanggan dijangka menerima bekalan semula sepanjang malam”.

Sebahagian besar hab teknologi Pantai Barat itu, yang mempunyai lebih 800,000 penduduk bergelap, menyebabkan gangguan kepada pengangkutan awam dan banyak lampu isyarat tidak berfungsi pada hujung minggu membeli-belah Krismas yang sibuk, sebelum bekalan elektrik mula dipulihkan.

“Saya tahu ini adalah hari yang sukar,” kata Datuk Bandar San Francisco, Daniel Lurie, dalam sebuah video yang dimuat naik di X dari pusat operasi kecemasan bandar itu.

“Itu adalah satu kemajuan (dalam pemulihan bekalan elektrik)… namun bagi anda yang masih tidak mempunyai bekalan elektrik, kami mahu memastikan anda kekal selamat dan memeriksa keadaan jiran-jiran anda,” katanya.

Lurie berkata, polis, jabatan bomba dan pegawai bandar lain telah digerakkan, dan penduduk diminta supaya kekal di rumah.

Banyak lampu isyarat trafik tidak berfungsi, memaksa polis trafik mengawal persimpangan, manakala perkhidmatan e-hailing kenderaan pandu sendiri Waymo telah menghentikan sementara operasi kenderaannya, katanya.

Menurut Lurie, kebakaran di sebuah stesen jana kuasa telah menyebabkan gangguan elektrik.

Akhbar San Francisco Chronicle melaporkan, sebahagian kawasan bandar diselubungi kabus dan banyak perniagaan terpaksa ditutup pada hari berkenaan, ketika kemuncak tempoh membeli-belah musim perayaan, menyebabkan kawasan komersial yang biasanya sibuk menjadi sunyi. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast