KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan semua mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) agar tidak tergesa-gesa pulang ke rumah masing-masing.
Baginda bertitah demikian berikutan terdapat kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir melanda negeri itu dalam masa terdekat.
“Saya dimaklumkan kemungkinan gelombang kedua berlaku minggu depan…jadi jangan balik terlalu cepat. Kita perlu bersabar dan teruskan berdoa agar perkara ini tidak berlaku.
“Kita lakukan solat hajat dan berdoa ke hadrat Allah supaya dijauhi daripada musibah,” titahnya ketika berangkat menyantuni mangsa banjir dan menyampaikan kurniaan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bunut Rendang di sini semalam.
Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana keadaan banjir di negeri itu masih terkawal berbanding bencana yang melanda negara jiran seperti di Sumatera dan Aceh di Indonesia ketika ini.
Al-Sultan Abdullah sebelum itu berkenan berangkat menyantuni mangsa-mangsa banjir di beberapa buah PPS di sekitar daerah ini iaitu SK Bunut Rendang, SM Chong Hwa, SK Mat Kilau dan SMK Mat Kilau.
Sebelum itu, baginda berkenan melakukan tinjauan udara bagi melihat sendiri situasi banjir di negeri ini sejurus tiba di Pangkalan Udara Kuantan dari Sukan SEA Thailand.
Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menaiki helikopter meninjau kawasan-kawasan pedalaman khususnya sepanjang Sungai Pahang, Lepar, Pekan, Sungai Lembing dan Kuantan.
“Saya perhatikan ada kawasan yang belum pulih sepenuhnya meskipun cuaca bertambah baik. Jalan-jalan di kawasan Pulau Manis, Pekan dan Bukit Kenau masih terputus hubungan. – MalaysiaGazette
















