KUALA LUMPUR – Penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak menaruh harapan tinggi supaya keputusan Mahkamah Tinggi melibatkan titah adendum esok, akan berpihak kepada bekas perdana menteri itu.
Bagi Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kuala Langat, Hairudin Jamil Ahmad, beliau tidak pernah putus mendoakan supaya Najib dapat menghabiskan baki tahanannya di rumah, sekali gus menamatkan tempoh di dalam penjara.
Jelasnya, keputusan itu juga disifatkan wajar mengambil kira hakikat Najib merupakan tokoh negarawan yang banyak menyumbang jasa dan bakti kepada negara.
“Saya bersama-sama seluruh penyokong dan ahli UMNO tidak pernah putus mendoakan supaya keputusan mahkamah esok akan berpihak kepada Najib dan beliau akhirnya dapat kembali semula ke rumahnya,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta di sini, malam ini.
Harapan sama turut disuarakan seorang penyokong Najib, Husaini Shoib yang mahu melihat Najib kembali ke rumahnya semula, selayaknya seorang pemimpin yang banyak membantu rakyat sepanjang menjadi perdana menteri.
“Saya berharap segala-galannya dipermudahkan Allah SWT buat Najib esok dan kita akan menerima khabar gembira yang dinanti-nantikan selama ini,” katanya.

Terdahulu, Lebih 100 orang terdiri daripada ahli UMNO; penyokong dan kenalan keluarga Najib menghadiri majlis doa selamat dan solat hajat di kediaman bekas Perdana Menteri berkenaan.
Difahamkan, sebahagian besar yang hadir juga merupakan anak-anak jati Pekan, Pahang yang menetap di Kuala Lumpur, selain kumpulan pemimpin mahasiswa.
Majlis itu diadakan bagi mendoakan supaya keputusan titah adendum melibatkan Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan esok, berpihak kepadanya, sekali gus membolehkan beliau menjalani tahanan di rumah.
Esok, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Alice Loke dijadualkan menyampaikan keputusan terhadap semakan kehakiman difailkan Najib, yang memohon menjalani baki hukuman penjara di kediaman sendiri.
Bekas perdana menteri itu sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan menyalah guna kuasa, pecah amanah, serta pengubahan wang haram membabitkan penyelewengan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa hukuman penjara asal selama 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib telah dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Susulan keputusan itu, Najib dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, pada 1 April 2024, beliau memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan mendakwa wujudnya satu perintah tambahan diraja yang membolehkannya menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah. – MalaysiaGazette















