KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh memburukkan lagi keadaan susulan hantaran Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berhubung keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum Datuk Seri Najib Razak.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang kenyataan yang bersifat provokatif hanya akan menambahkan ketegangan dalam situasi yang sedang hangat diperkatakan.
“Jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak,” katanya ringkas.
Menurut Ahmad Zahid, semua pihak perlu menghormati proses perundangan yang sedang berjalan tanpa menimbulkan sentimen yang boleh mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, Bee Yin memuat naik satu hantaran di media sosial yang dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum.
“Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini,” tulis Ahli Parlimen Puchong itu.
Hantaran tersebut mencetuskan pelbagai reaksi khususnya daripada pimpinan UMNO yang menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai tidak sensitif dan tidak wajar.
Antaranya Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memberi bayangan jelas bahawa UMNO tidak wajar terus berdiam diri sekiranya sumbangan dan perjuangan parti itu terus dipandang ringan oleh rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Malah Ketua Pemuda Pergerakan parti itu, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh secara lantang menggesa supaya parti itu menarik balik sokongan daripada kerajaan sekarang.
Tegasnya, lebih baik UMNO menjadi pembangkang yang bermaruah daripada dihina oleh rakan sekutu dalam kerajaan tersebut.
Bee Yin merangkap Setiausaha Publisiti DAP menerusi Facebook memuat naik status “Antara yang perlu diraikan menjelang hujung tahun” sambal memuat naik keputusan Mahkamah Tinggi terhadap penolakan emakan kehakiman yang dibuat Datuk Seri Najib Razak hari ini.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Susulan keputusan berkenaan, Najib diperintahkan untuk menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.
Isu berkenaan terus menjadi perhatian pelbagai pihak dan mengundang perbahasan awam mengenai adab berpolitik serta tanggungjawab pemimpin dalam mengeluarkan kenyataan. – MalaysiaGazette
















