Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli.

PORT DICKSON – Lokasi pantai yang kaya biodiversiti dan belum tercemar, Laut Pengkalan Sungai Sekawang, Batu 15 di sini bakal menjadi tumpuan pemancing dan pelancong apabila pertandingan memancing Surfcasting Challenge Port Dickson 2025 akan berlangsung pada 28 Disember ini.

Pertandingan memancing yang bermula 11 pagi hingga 3 petang itu turut menjadi medan promosi sempena mendapat sokongan Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (Visit Negeri Sembilan 2026)

Lokasi strategik Batu 15 yang terletak di pesisir pantai Port Dickson ini menawarkan suasana tenang, landskap semula jadi yang memukau serta perairan yang menjadi habitat pelbagai spesies ikan seperti siakap, senangin, pari, gelama, kerapu, sembilang dan duri.

Kombinasi dasar berpasir, berlumpur serta struktur berbatu menjadikan kawasan ini sebagai salah satu lubuk utama pemancing pantai di negeri itu mula menarik kehadiran pemancing dari seluruh negara.

Menurut Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli, pertandingan itu merupakan antara inisiatif terbaik dalam memperkenalkan destinasi tersembunyi kepada umum sebagai sebahagian daripada pelan promosi pelancongan negeri.

“Penganjuran pertandingan di lokasi seperti Sungai Sekawang ini amat bertepatan dalam konteks Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. Ia membuka peluang kepada pembangunan ekonomi setempat dan memperkenalkan kawasan luar bandar sebagai produk pelancongan berasaskan alam,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd Faizal, kerajaan negeri giat mengenal pasti lokasi-lokasi ‘permata tersembunyi’ seperti Batu 15 untuk diketengahkan melalui kempen Visit NS 2026 yang memberi penekanan kepada ekopelancongan, warisan dan rekreasi keluarga.

“Pantai yang tenang, komuniti mesra, serta kekayaan hasil laut menjadikan tempat ini sesuai bukan sahaja untuk memancing, tetapi juga perkhemahan, fotografi dan pelancongan berkonsepkan alam semula jadi,” jelasnya.

Pertandingan berkenaan dianjurkan bersama oleh Pejabat ADUN Linggi dan Nadi Media Events dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Sungai Sekawang dan disokong oleh Tourism Malaysia.

Lebih RM25,000 wang tunai ditawarkan kepada pemenang dimana juara pertandingan akan membawa pulang RM10,000, tempat kedua RM3,000 dan ketiga RM1,000.

Tempat ke-4 hingga ke-10 akan menerima hadiah tunai RM200, tempat ke-11 hingga ke-20 RM150, dan tempat ke-21 hingga ke-100 akan menerima RM110 setiap seorang.

Penyertaan dibuka dengan yuran hanya RM80, membolehkan peserta menggunakan satu joran dan dua mata kail. Pendaftaran akan dibuka Sabtu ini mulai 3 petang hingga 7 malam dan dibuka eskonya 8.30 pagi di lokasi pertandingan.

Sebanyak 500 helai T-shirt edisi khas akan diberikan kepada peserta terawal yang mendaftar di samping hadiah cabutan bertuah menarik termasuk dua unit televisyen dan pelbagai barangan memancing tajaan penaja.

Penganjur menyasarkan lebih 500 peserta menyertai acara ini sekali gus memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan memancing terbaik.

Menurut Mohd Faisal, pertandingan  bukan sahaja menguji kemahiran pemancing, malah menjadi medium memperkenalkan Sungai Sekawang, Batu 15 sebagai lokasi pelancongan baharu yang patut diterokai.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi nombor berikut untuk pendaftaran dan maklumat lanjut: 013-2667011, 012-3554946 atau 012-2846811.

Dengan gabungan hadiah menarik, promosi pelancongan negeri dan keindahan alam semula jadi, Port Dickson Surfcasting Challenge 2025 bukan sekadar acara memancing – ia adalah sebahagian daripada langkah strategik melonjakkan pelancongan Negeri Sembilan menjelang 2026.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast