KUALA LUMPUR – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli kini sedang dirawat di sebuah hospital di ibu negara kerana mengalami sakit dada.
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Perlis, Mohamad Azreen Jumri dalam satu kenyataan hari ini berkata, Mohd Shukri bagaimanapun berada dalam keadaan stabil.
“Sejurus kembali daripada urusan luar negara, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli telah mengadu mengalami sakit dada.
“Sehubungan itu, beliau telah segera dikejarkan ke sebuah hospital di Ibu Negara untuk pemeriksaan lanjut.
“Setakat ini, keadaan beliau stabil dan mohon semua rakyat Perlis mendoakan agar beliau sihat sejahtera dan dilindungi Allah daripada sebarang musibah,” katanya menerusi laman sosial Facebook Mohd Shukri Ramli hari ini.
Difahamkan, Mohd Shukri sebelum ini menghadiri Karnival Halal Antarabangsa Malaysia yang berlangsung di Shanghai, China dalam inisiatif menarik pelaburan dan memperkukuh daya saing perusahaan tempatan. – MalaysiaGazette
















