Oleh: Ismail Hashim Yahaya
PERSOALAN mengapa pemimpin Melayu gagal menginstitusikan perlindungan warisan kawasan atau kampung Melayu bandar sementara seorang pemimpin bukan-Melayu mampu mencadangkannya, tidak boleh dijawab melalui logik pentadbiran semata-mata. Ia menuntut pembacaan yang lebih dalam: pembacaan terhadap simbol, makna dan rejim naratif yang membentuk tindakan politik di Kuala Lumpur.
Ini bukan soal keupayaan individu sebaliknya soal bagaimana kuasa dan identiti berfungsi sebagai tanda yang membataskan polisi. Dalam budaya politik Malaysia, Kuala Lumpur berfungsi sebagai penanda induk. Ia bukan sekadar bandar lebih jauh lagi simbol kedaulatan, kejayaan pascakolonial dan kelangsungan kuasa politik Melayu.
Maka ruang Melayu di ibu kota seperti Kampung Baru, Kampung Sungai Baru, dan kawasan seumpamanya tidak dibaca sebagai kejiranan biasa. Ia dibaca sebagai tanda kewujudan Melayu dalam susunan bandar moden. Setiap inci ruang ini membawa makna yang jauh melangkaui nilai tanah atau perancangan bandar.
Beban simbolik inilah yang melahirkan kelumpuhan dasar. Pemimpin Melayu yang mentadbir Kuala Lumpur tidak bergerak dalam ruang polisi yang neutral. Setiap tindakan ditafsir sama ada sebagai “mempertahankan” atau “menggadaikan” kepentingan Melayu.
Dalam rejim makna seperti ini pewartaan warisan bukan sekadar keputusan teknikal lebih jauh lagi pernyataan identiti yang berisiko. Maka tindakan menjadi terhad, berhati-hati dan akhirnya berulang pada simbol yang sama. Tidak menghairankan jika perhatian pemimpin Melayu sering tertumpu kepada lokasi ikonik tertentu. Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru berfungsi sebagai sauh visual dalam naratif survival Melayu.
Melindungi lokasi ini menjadi ritual politik bukan kerana kawasan lain kurang nilai sejarah tetapi kerana hanya simbol-simbol ini kekal “boleh dibaca” oleh khalayak sebagai tanda pertahanan Melayu. Warisan lain yang lebih berselerak seperti Kampung Chubadak atau kampung-kampung Melayu bandar yang telah pupus hilang tanpa naratif, tanpa upacara, dan tanpa institusi yang mempertahankannya.
Persoalannya apa pemimpin Melayu buat ketika krisis pembangunan di Kampung Chubadak ,di manakah peranan mereka dalam mempertahankannya? Di sinilah ironi mula terserlah. Apa yang dipertahankan secara emosional sering diabaikan secara struktural. Perlindungan menjadi performatif bukan sistemik.
Polisi bertukar menjadi isyarat bukan institusi. Akibatnya warisan Melayu bandar tidak berkembang sebagai satu ekosistem tetapi membeku sebagai simbol suci yang tidak boleh disentuh atau diperluas. Dalam konteks ini cadangan seorang pemimpin bukan-Melayu seperti usaha untuk mengiktiraf Kampung Sungai Penchala sebagai warisan muncul dari tatabahasa naratif yang berbeza.
Warisan dibaca sebagai kategori pentadbiran: sesuatu yang boleh dipetakan, dikodkan dan dilindungi melalui mekanisme undang-undang. Tiada keperluan untuk membuktikan kesetiaan identiti melalui setiap keputusan. Justeru, tindakan boleh bergerak dalam kerangka institusi. Namun politik persepsi tidak membenarkan perbezaan ini diterima dengan mudah. Dalam iklim yang tepu dengan kecurigaan etnik, penanda siapa yang mencadangkan sering mengatasi makna cadangan itu sendiri.
Apabila ia datang daripada seorang menteri DAP, kandungan dasar ditenggelamkan oleh tanda politik. Niat dibaca sebagai strategi bukan penjagaan. Simbol mengatasi substans. Namun kelebihan Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan tidak boleh dibaca semata-mata sebagai kelebihan individu atau etnik, apatah lagi disimpulkan kepada persoalan betulkah ini niat baik.
Faktor penting yang sering terlepas pandang ialah kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Segambut yang memberikan legitimasi kawasan dan keintiman pentadbiran terhadap komuniti setempat seperti Kampung Sungai Penchala. Dari sudut pentadbiran ini membolehkannya membingkai usaha pewartaan warisan sebagai isu komuniti, perancangan bandar dan pemeliharaan sejarah
bukan sebagai pernyataan ideologi atau tuntutan etnik.
Namun persoalan yang lebih mendalam dan tidak selesa segera muncul: jika pengiktirafan warisan seperti ini boleh diusahakan hari ini, mengapa langkah serupa tidak pernah diinstitusikan secara sistematik oleh pemimpin Melayu yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan?
Tidakkah mereka juga memiliki kuasa pentadbiran, mandat politik dan autoriti simbolik yang sama—malah lebih besar—untuk mewartakan kawasan-kawasan Melayu lain di Kuala Lumpur yang kini telah pupus atau terhakis tanpa jejak institusi, seperti Kampung Chubadak dan beberapa penempatan Melayu lama yang lenyap ditelan pembangunan?
Jawapannya tidak terletak pada kekurangan keupayaan atau keprihatinan tetapi pada perangkap politik identiti yang membelenggu kepimpinan Melayu bandar. Bagi menteri Melayu, Kuala Lumpur bukan sekadar ruang tadbir urus;
ia adalah tanda survival Melayu pasca-kemerdekaan.
Setiap tindakan dibaca dalam kerangka binari mempertahankan atau menggadaikan. Dalam rejim makna ini, pewartaan kawasan warisan Melayu bukan semestinya dibaca sebagai peluasan perlindungan sebaliknya berisiko ditafsir sebagai pengakuan had, kompromi dengan pembangunan atau penutupan ruang tuntutan masa depan. Akibatnya perlindungan warisan menjadi simbolik dan tertumpu pada beberapa lokasi ikonik seperti Kampung Baru atau Kampung Sungai Baru sementara pendekatan institusional yang lebih menyeluruh gagal dibangunkan.
Sebaliknya, Hannah Yeoh—sebagai pemimpin bukan Melayu—beroperasi di luar beban simbolik survival tersebut. Inisiatifnya tidak terikat pada keperluan untuk sentiasa menandakan kesetiaan identiti. Ia boleh dibaca sebagai tindakan teknokratik dan pentadbiran, bukan pertarungan makna etnik.
Ironinya, kebebasan daripada beban simbol inilah yang memungkinkan tindakan institusional berlaku, sementara pemimpin Melayu terdahulu terperangkap dalam politik penandaan terlalu berhati-hati untuk bergerak kerana setiap langkah berisiko disalahtafsir.
Di sinilah kita melihat satu kontradiksi yang lebih luas dalam politik bandar Melayu. Apa yang dipertahankan secara emosional sering diabaikan secara struktural. Warisan yang dipertahankan sebagai simbol gagal dilindungi sebagai institusi. Dan apabila usaha perlindungan itu akhirnya datang daripada aktor bukan Melayu, ia pula disambut dengan kecurigaan—bukan kerana dasar itu lemah, tetapi kerana ia mencabar jangkaan tentang siapa yang “berhak” melindungi makna Melayu di bandar.
Perangkap ini juga menjelaskan kontroversi lain seperti Urban Renewal Act (URA). URA tidak dibaca sebagai instrumen pembaharuan bandar sebaliknya sebagai tanda pemindahan kuasa dan pemilikan ruang. Apabila ia dikaitkan pula dengan menteri DAP dan pengurusan bandar Kuala Lumpur ia melebur ke dalam naratif besar: bandar dikuasai elit urban bukan
Melayu, kampung Melayu terancam dan pembangunan dibaca sebagai penyingkiran. Sekali lagi, polisi tewas kepada simbol.
Lebih mendalam kegagalan ini tidak boleh dipisahkan daripada politik identiti dan politik kepentingan yang bersilang. Nilai tanah bandar, rangkaian pemaju, hierarki parti, dan persaingan dalaman menjadikan keputusan dasar semakin berisiko.
Pemimpin Melayu yang cuba bertindak secara institusional bukan sahaja berdepan serangan naratif tetapi juga risiko kehilangan sokongan politik dan ekonomi. Maka simbol yang selamat diulang, sementara pembaharuan struktural ditangguhkan.
Keupayaan pemimpin bukan-Melayu untuk bertindak secara institusional bukanlah kerana mereka lebih prihatin terhadap warisan Melayu tetapi kerana struktur naratif membenarkan mereka berfungsi sebagai pengurus dasar, bukan penjaga identiti. Peliknya apabila mereka melakukannya, tindakan itu pula dicurigai sebagai manipulasi politik. Ini menutup ruang rasional dan menghalang pembinaan dasar bersama.
Masalah sebenar bukan terletak pada etnik pemimpin sebaliknyua kepada kerangka politik yang menjadikan identiti sebagai mata wang utama. Selagi kepimpinan Melayu terperangkap dalam keperluan berterusan untuk membuktikan keMelayuan melalui simbol dan konflik selagi itulah dasar bandar dan warisan akan kekal reaktif, terhad dan rapuh. Warisan akan terus
dipertahankan sebagai tanda, bukan dilindungi sebagai sistem.
Jika isu ini dibaca dalam konteks lebih luas, ia mendedahkan cabaran besar menjelang PRU-16 dan masa depan naratif Kerajaan Madani. Kerajaan ini tidak boleh terus beroperasi dalam logik simbol semata-mata. Selagi politik dibiarkan berputar pada ketakutan kehilangan tanda iaitu tanah, kampung, identiti maka akhirnya dasar akan sentiasa kalah kepada emosi.
Peralihan yang diperlukan ialah daripada politik kelangsungan kepada politik kesinambungan. Daripada mempertahankan simbol secara ritual kepada membina institusi yang memastikan makna itu hidup dan berpanjangan. Warisan Melayu bandar tidak boleh terus diperlakukan sebagai objek pertahanan emosional, tetapi perlu difahami sebagai sistem budaya yang memerlukan perlindungan undang-undang, perancangan bandar, dan konsensus sosial.
Naratif Madani hanya akan berfungsi jika ia berani mengalihkan perbualan daripada “siapa menjaga Melayu” kepada “bagaimana makna Melayu dilestarikan secara adil dan mampan”. Ini menuntut keberanian politik untuk keluar daripada perangkap simbol, dan kematangan untuk membina naratif penjagaan bersama di mana warisan dilindungi bukan kerana siapa yang mencadangkannya, tetapi kerana ia milik sejarah dan masa depan bersama.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan meneliti setiap isu semasa melalui perspektif semiotik dan naratif, dengan memberi tumpuan kepada bagaimana simbol, bahasa dan pembingkaian makna membentuk persepsi awam, mempengaruhi emosi politik, serta menentukan hala tuju legitimasi kuasa dalam konteks politik Malaysia
kontemporari.
















