Tertuduh, Muhammad Farid Isham, 34, menangis di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, Julai lalu.

MELAKA – Pengantin baharu lelaki menangis di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, Julai lalu.

Tertuduh, Muhammad Farid Isham, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dengan cara menyentuh kemaluan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan semasa berada di tepi lorong berdekatan rumah di Pengkalan Rama Pantai, dalam daerah Melaka Tengah, pada kira-kira jam 2 petang, 2 Julai 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM30,000 dengan syarat tambahan dilarang menggangu mangsa serta keluarganya dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Peguam Amritpal Singh bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan kerana tertuduh hanya bekerja kilang dan baru sahaja berkahwin selain merupakan penyara tunggal keluarga.

Difahamkan tertuduh dan pasangannya itu baru berkahwin Ogos lalu dan kejadian berlaku sebulan sebelum perkahwinan mereka.

Selepas mendengar hujahan kedua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 sebelum tertuduh tiba-tiba mencelah meminta kadar lebih rendah kerana tidak mampu sebelum menangis.

Ketika ini, isteri tertuduh yang berada di ruang galeri awam tidak dapat mengawal emosi dan menangis teresak-esak sambil diperhatikan suaminya yang turut menangis di kandang tertuduh.

Amritpal kemudian memberitahu mahkamah isteri tertuduh hanya membawa RM4,000 sebagai wang jaminan.

Hakim Raja Noor Adilla kemudian membenarkan pengantin baharu itu dijamin RM8,000 serta syarat tambahan dipohon pendakwaan selain pasport diserahkan kepada mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast