KUALA LUMPUR – Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) masih menunggu maklum balas rasmi daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berhubung beberapa perkara yang dibangkitkan semasa sesi libat urus bersama beberapa persatuan pemandu e-hailing dan p-hailing pada 17 November lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Penghantar memaklumkan, antara isu itu adalah mengenai penawaran perkhidmatan e-hailing menggunakan konsep tawar menawar (bidding) yang jelas bercanggah dengan perundangan negara.
Menurutnya, meskipun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pernah mengesahkan konsep bidding itu tidak sah namun syarikat e-hailing masih lagi menawarkannya sekali gus menunjukkan dasar flip-flop kerajaan dalam isu tersebut.
Ujarnya, kewujudan syarikat bidding itu memberi impak negatif kepada pemandu e-hailing berikutan ketiadaan harga lantai yang munasabah biarpun kerajaan berulang kali, terutama ketika berusaha mendapatkan sokongan bagi Akta Pekerja Gig kononnya menjadi wira kepada pekerja gig di seluruh negara.

“Apa yang kami lihat, kerajaan akhirnya akur kepada syarikat e-hailing bidding dan melupakan segala gimik ketika meraih sokongan pemandu e-hailing,” katanya.
Kenyataan itu turut dikeluarkan bersama enam persatuan berkaitan e-hailing dan p-hailing lain termasuk Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (LEAD); Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) dan Pertubuhan Tenaga GiG Melaka (TENAGA GiG).
Sementara itu, Penghantar menerusi kenyataan tersebut turut mempersoalkan keperluan untuk wakil pegawai kanan agensi kawal selia hadir pada program syarikat e-hailing yang berada dalam tempoh pemantauan.
Menurutnya, kehadiran wakil itu sekali gus menimbulkan syak wasangka dalam kalangan rakan pemandu dan mencetuskan persoalan sama ada tindak tanduk wakil agensi kawal selia berkenaan mendapat restu daripada pejabat Menteri Pengangkutan.
“Wakil agensi kawal selia sepatutnya mematuhi gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menitik-beratkan tatakelola serta integriti yang baik kerana setiap tingkah laku penjawat awam sentiasa diperhatikan oleh masyarakat dan dalam hal ini, menyebabkan pelbagai andaian tercetus di kalangan pemandu e-hailing,” katanya.
Tambah Penghantar, pihaknya berharap Kementerian Pengangkutan pada tahun 2026 akan memberi perhatian lebih tegas dan benar-benar melaksanakan polisi bersandarkan kepada perundangan sedia ada dalam membela nasib industri e-hailing dan p-hailing.
Sekiranya perlu, tambahnya, agensi kawal selia sedia ada perlu dirombak supaya lebih prihatin terhadap pengguna dan pemandu e-hailing, bukan sekadar menjadi ejen kepada syarikat e-hailing. – MalaysiaGazette
















