KUALA LUMPUR – UMNO Pahang mengecam sekeras-kerasnya kenyataan biadab Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, yang secara terbuka meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan isu Titah Adendum Dato’ Sri Najib Tun Razak.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan tersebut bukan sahaja tidak wajar, malah mencerminkan keangkuhan politik serta ketandusan adab dan sensitiviti yang menyentuh perasaan banyak pihak terutamanya ahli keluarga Najib serta ahli-ahli UMNO khususnya.
Menurut beliau, keputusan mahkamah tidak seharusnya dijadikan pentas sorakan politik murahan.
Malah, meraikan keputusan tersebut dengan ejekan dan sindiran merupakan satu perbuatan yang hanya menampakkan ketidakmatangan dan kekeringan nilai seorang wakil rakyat.
Beliau turut menegas, jika DAP mahu berkawan, berkawanlah dengan adab dan keikhlasan, bukan dengan ejekan kosong yang akhirnya menyebabkan diri yang begitu angkuh tenggelam dalam kesombongannya sendiri.
“UMNO Pahang akan terus berdiri teguh, tidak goyah dan tidak sesekali berundur dalam memberikan sokongan serta meneruskan usaha mencari keadilan buat Dato’ Sri Najib Razak,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang.
Terdahulu, dalam kenyataan awalnya, Wan Rosdy mengingatkan DAP: “Jika nak berkawan, berkawan betul-betul. Jika nak berlawan, kita berlawan betul-betul”. – MalaysiaGazette















