Peguam, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah bercakap kepada media ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah disifatkan pasukan pembelaan sebagai berpotensi mencetuskan preseden baharu dalam sistem keadilan.

Ia khususnya melibatkan semakan terhadap keputusan Lembaga Pengampunan, kata Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan bela Najib.

Menurut beliau, keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini membuka ruang lebih luas kepada mahkamah untuk meneliti dan mentafsir proses dalaman Lembaga Pengampunan, sesuatu yang sebelum ini jarang berlaku.

“Kes ini adalah kes pertama seumpamanya. Selepas ini, kita mungkin akan melihat lebih banyak permohonan difailkan untuk mendapatkan penjelasan menyeluruh mengenai bagaimana keputusan Lembaga Pengampunan dibuat,” katanya dalam sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini.

Pada prosiding pagi ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching dalam penghakimannya telah menolak semakan kehakiman dimohon Najib untuk melaksanakan titah adendum yang membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Dalam penghakimannya, hakim berkenaan mendapati Titah Adendum yang menjadi asas permohonan semakan kehakiman itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 yang diadakan pada 29 Januari tahun lalu.

Menurut Muhamad Shafee, keputusan berkenaan mewujudkan apa yang disifatkannya sebagai floodgate effect iaitu kebanjiran permohonan berkaitan pengampunan diraja, susulan ruang baharu yang kini dibuka oleh keputusan mahkamah.

Beliau berkata, sebelum ini, keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam Lembaga Pengampunan lazimnya dianggap muktamad dan tidak boleh dipersoalkan berdasarkan beberapa keputusan mahkamah terdahulu.

“Dalam banyak kes sebelum ini termasuk kes melibatkan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahkamah telah menegaskan bahawa keputusan pengampunan diraja tidak boleh dicabar,” ujarnya.

Muhamad Shafee turut menyatakan rasa terkejut terhadap pendekatan yang diambil Mahkamah Tinggi dalam kes berkenaan khususnya daripada segi alasan dan tafsiran undang-undang yang diberikan.

“Kami tidak menjangkakan pendekatan seperti ini. Banyak perkara dalam keputusan tersebut memerlukan penelitian lanjut,” tegasnya.

Muhamad Shafee berkata, keputusan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada kes anak guamnya malah berpotensi mempengaruhi cara kes-kes pengampunan diraja akan ditangani oleh mahkamah pada masa depan.

Sehubungan itu, beliau mengesahkan pihak pembelaan akan memfailkan rayuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dalam masa terdekat.

Selain itu, Muhamad Shafee juga melahirkan rasa kecewa bagi pihak Najib yang telah menunggu keputusan penting itu memandangkan titah adendum itu telah dititahlebih dua tahun lamanya.

Untuk rekod, Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan tempoh pemenjaraannya daripada 12 tahun kepada enam tahun serta menurunkan jumlah denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast