GEORGE TOWN – Suasana ceria menyelubungi Masjid Jamek Shaik Eusoff Dhoby Ghaut, Jalan Ayer Itam di sini, apabila 21 kanak-kanak diraikan dengan mandi air bunga sempena program Khatan Perdana.
Program itu bukan sahaja menjadi simbol mengembalikan tradisi lama, malah turut menjadikan badan peserta lebih segar dan harum.
Gelagat lucu peserta berusia empat hingga 10 tahun dapat dilihat sebelum dan selepas mereka menjalani proses berkhatan.
Antara yang menarik perhatian ialah tiga beradik, Adam Qhaleef Muhd Syahmie, 6; Aqeef Isyraf, 5; dan Ammar Rizqi, 4, turut berkhatan serentak.
Ibu mereka, Nurilyana Kamar Baharin, 40, teruja dengan majlis berkenaan, kesemua anaknya bangun seawal 5 pagi untuk bersiap ke masjid.
“Aqeef Isyraf paling tidak sabar untuk ke masjid, lebih-lebih lagi apabila mengetahui mereka akan mandi air bunga dalam kolam.

”Ini pengalaman pertama mereka berkhatan serentak pada cuti sekolah kali ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, Rayyan Samsul Kamal, 9, berkongsi pengalamannya berkhatan bersama kembarnya, Raihan.
Ibu mereka, Asmawati Jamil, 40, berkata, Raihan lebih tenang berbanding abangnya.
“Suami saya baru sahaja menjalani pembedahan tiga hari lalu dan tidak dapat hadir. Mungkin jika dia ada, dia dapat menenangkan Rayyan.
“Di rumah nanti pasti lucu apabila suami dan tiga anak berbaring bersama sepanjang tempoh pemulihan,” katanya.
Pengerusi masjid, Yusof Yaacob pula berkata, program itu terbuka bukan sahaja kepada anak kariah tetapi juga peserta dari daerah lain dalam negeri.

“Mereka dimandikan terlebih dahulu dengan air semburan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak.
“Kemudian, mereka berendam dalam kolam yang dipenuhi pelbagai bunga dan limau purut. Ini cara tradisi lama yang ingin kami kembalikan sebagai pengalaman manis kepada generasi kini.
“Kami juga mahu kanak-kanak tahu bahawa berkhatan bukan sesuatu yang menakutkan,” katanya.
Majlis itu turut dibantu lima doktor dari Kementerian Kesihatan bagi memastikan prosedur berjalan lancar dan selamat. – MalaysiaGazette
















