KUANTAN – Paras air di Lembangan Sungai Pahang terus menunjukkan trend menurun sehingga 8 pagi ini dan kebanyakan kawasan terjejas akibat banjir kembali pulih.
Menurut info Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hanya dua sungai di Lembangan Sungai Pahang yang masih berada pada paras bahaya iaitu di Lubuk Paku, Maran dan Kuala Sungai Chini, Pekan.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan, jumlah mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus menurun di lima daerah yang masih terjejas.
Di daerah Kuantan, seramai 259 individu melibatkan 75 keluarga masih berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Semangat.
Di daerah Pekan pula, seramai 206 mangsa banjir melibatkan 67 keluarga masih berada di PPS Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Manis dan Dewan Orang Ramai Air Hitam.
Manakala di daerah Bera, seramai 67 individu daripada 16 keluarga ditempatkan di PPS SK Bukit Gemuruh dan Masjid Kampung Mengkarak.
Sementara itu di daerah Maran, seramai 35 individu daripada enam keluarga masih berlindung di PPS Balairaya Kampung Baru Pertanian.
Bagi daerah Temerloh pula, seramai 13 individu melibatkan tiga keluarga yang masih berada di PPS Masjid Bukit Kepayang.
Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir di beberapa tempat di kawasan pendalaman di negeri ini bermula hari ini sehingga Sabtu depan. – MalaysiaGazette
















