KUALA LUMPUR – DAP didakwa masih menjadikan Datuk Seri Najib Razak sebagai pentas politik mereka kerana percaya dengan menonjolkan imej “menentang rasuah” melalui serangan berterusan terhadap bekas perdana menteri tersebut, sokongan masyarakat Cina terhadap parti itu dapat dikekalkan.
Setiausaha Urimai, Satees Muniandy berkata, sedangkan hakikatnya, Najib bukan lagi ahli politik yang aktif.
Namun DAP masih memerlukan Najib sebagai sasaran politik untuk menutup kegagalan sendiri serta mengalihkan perhatian daripada aib kekalahan di Sabah.
DAP percaya bahawa dengan terus menyerang Najib, sokongan masyarakat Cina di Semenanjung akan kekal bersama mereka, sayangnya realiti di lapangan sangat berbeza.
Dakwa beliau, masyarakat Cina tidak meraikan keputusan ini sebaliknya, semakin ramai rakyat Cina bukan partisan menunjukkan simpati terhadap Najib, khususnya selepas melihat prestasi kerajaan semasa yang mengecewakan yang mana DAP merupakan sebahagian daripadanya.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ramai secara terbuka menyatakan Najib merupakan perdana menteri paling mesra perniagaan dalam tempoh dua dekad lalu.
“Selepas bertahun-tahun Najib diburukkan oleh DAP, simpati terhadap beliau semakin meningkat. Bagi mengubah naratif ini, elit DAP kini cuba memberi amaran kepada masyarakat Cina agar tidak bersimpati terhadap sesiapa yang dikaitkan dengan “rasuah.”
Namun ironinya, ada individu dalam kalangan mereka yang berdepan pertuduhan rasuah dibenarkan bertanding dan memenangi kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri. Empati hanya dianggap salah apabila ia melibatkan Najib,” katanya dalam kenyataan hari ni.
Mengulas isu berkenaan, Satees berkata, DAP dengan sengaja mengusik sarang tebuan walaupun sedar sepenuhnya UMNO akan bertindak balas dengan keras tetapi mereka tetap dilakukan kerana beranggapan tindakan ini perlu demi mengekalkan sokongan politik.
“Bagi mereka, kemenangan dalam pilihan raya akan datang lebih penting daripada prinsip. Hakikatnya, sokongan masyarakat Cina akan terus merosot — bukan kerana Najib, tetapi kerana kegagalan DAP sendiri dalam kerajaan,” katanya.
Satees berkata, meraikan penderitaan seseorang bukanlah perbuatan yang terhormat dalam mana-mana budaya.
Seperti rakyat Malaysia yang lain, Najib wajar diberi ruang untuk menggunakan semua saluran perundangan yang tersedia kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan perkara yang sama dan akhirnya dibebaskan.
Malah, DAP menerima Anwar ketika itu, tetapi kini menentang keras proses pengampunan Najib. – MalaysiaGazette
















