Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Prestasi tahunan Indeks Pelopor (IP) bagi Oktober 2025 lebih memberangsangkan dengan mencatatkan 3.6 peratus, mencapai 116.2 mata berbanding 112.2 mata pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

IP ini memberi petunjuk awal tentang titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi dalam tempoh terdekat.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir berkata, lonjakan ketara ini dipacu oleh pertumbuhan dua digit yang kukuh dalam tiga komponen IP iaitu Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan (51.2%), Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain (39.2%) dan Import Benar Semi Konduktor (32.4%).

Pada masa yang sama, prestasi bulanan IP melonjak kepada 2.6 peratus pada Oktober 2025 selepas mencatatkan penurunan selama dua bulan berturut-turut, disokong oleh prestasi yang bertambah baik dalam Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain (1.8%).

Perkembangan positif ini menggambarkan momentum ekonomi yang lebih kukuh menjelang 2026, katanya.

Selaras dengan peningkatan ketara dalam prestasi IP, trend arah aliran jangka panjang terlicin IP telah melepasi paras 100.0 mata pada Oktober 2025.

Berdasarkan senario tersebut, prospek ekonomi dijangka lebih optimis pada masa hadapan, disokong oleh aktiviti ekonomi yang menggalakkan terutamanya dalam import barangan perantaraan, di samping prestasi yang memberangsangkan merentasi sektor ekonomi utama, iaitu sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Dalam menilai kedudukan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) terus mencatat peningkatan tahunan yang memberangsangkan iaitu 2.7 peratus kepada 129.9 mata berbanding 126.5 mata pada tempoh yang sama tahun lalu.

Pertumbuhan signifikan 15.3 peratus dalam Nilai Caruman Benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencerminkan aliran pendapatan pekerja yang lebih kukuh serta kesinambungan peluang pekerjaan.

Pada asas bulanan, IS turut menunjukkan perkembangan positif, 0.6 peratus, yang sebahagian besarnya dipacu oleh kenaikan dalam Gaji & Upah Benar dalam Pembuatan serta Nilai Caruman Benar KWSP, masing-masing menyumbang 0.2 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast