JASIN – Seorang kanak-kanak perempuan dikejarkan ke hospital selepas mengalami pendarahan di kemaluan, dipercayai akibat terkena gigitan lintah.
Sumber berkata, kejadian menimpa mangsa berusia tujuh tahun ketika bermain di kawasan sawah pada program D’ Bendang, Sungai Rambai, di sini, Ahad lalu.
Menurutnya, pihak polis menerima makluman kejadian itu kira-kira jam 1 tengah hari dari Wad Kecemasan Hospital Jasin selepas dibawa ibunya.
“Mangsa dikatakan mengalami pendarahan secara tiba-tiba ketika sedang bermain di sawah semasa ibunya menyertai program D’Bendang di Sungai Rambai.
“Hasil siasatan awal bagaimanapun mendapati tiada sebarang kecederaan luaran di bahagian kemaluannya,” katanya.
Menurut sumber, ibunya kemudian memaklumkan anaknya itu hanya memakai seluar pendek tanpa seluar dalam ketika berada di kawasan sawah sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan doktor turut tidak menolak kemungkinan darah yang mengalir dari kemaluan disebabkan lintah.
“Tiada kecederaan trauma atau unsur jenayah seksual dikesan dan laporan polis dibuat bagi memenuhi prosedur perubatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















