Mohd Hazimin (tengah) melakukan gimik Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2025 KPDN Melaka di sebuah pasar raya di Klebang, Melaka hari ini.

MELAKA – Pengurusan pasar raya di negeri ini diingatkan tidak terlalu rigid dalam pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS), sehingga menghalang rakyat daripada menggunakan kaedah pendaftaran manual untuk pembelian minyak masak bersubsidi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, ia selepas pihaknya mendengar rungutan ada sesetengah pasar raya bertindak sedemikian.

Menurutnya, sejak pelaksanaan eCOSS di Melaka, sistem berkenaan sangat baik dan berjaya mengawal bekalan minyak masak bersubsidi tanpa menunjukkan sebarang ketirisan.

“Pelaksanaan eCOSS di Melaka sangat-sangat baik dan kita tidak nampak ketirisan yang mana bekalan minyak masak sentiasa ada di rak tidak seperti sebelum ini.

“Ini kerana sistem eCOSS membolehkan pergerakan minyak masak dikesan secara menyeluruh bermula dari kilang, pemborong, peruncit sehingga digunakan oleh pengguna akhir, sekali gus menutup ruang penyelewengan,” katanya.

Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2025 KPDN Melaka di sebuah pasaraya di Klebang di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Melaka Rohaimi Mohammed Zawawi.

Mengulas lanjut, Mohd Hazimin berkata, setiap pembelian melalui sistem itu direkodkan membolehkan KPDN mengesannya bermula dari kilang sehinggalah ia masuk ke dalam kuali.

“Bagaimanapun pasar raya tidak boleh menafikan hak pengguna yang menghadapi kekangan seperti tidak membawa telefon pintar atau masalah teknikal untuk mendaftar secara digital melalui sistem ini terutamanya melibatkan warga emas.

“Kita tak buka sistem ini secara terlalu rigid sehingga menekan rakyat kerana mereka boleh daftar secara manual jika tak boleh gunakan sistem ini secara digital,” katanya.

Menurutnya, jika ada pasar raya yang bermasalah dan enggan membenarkan pembelian minyak masak peket secara manual, rakyat boleh laporkannya kepada KPDN untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast