Pengerusi Koperasi Permodalan Felda Malaysia (KPF), Datuk Mohd Banuri Aris menjelaskan proses pembayaran pengeluaran modal syer anggota yang memohon di Balai FELDA, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) menegaskan pembayaran pengeluaran modal syer anggota yang memohon adalah dilakukan secara terancang dan berfasa bagi kelangsungan operasi dan menjaga kepentingan anggota.

Pengerusinya, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, KPF telah menyelesaikan sepenuhnya pembayaran pengeluaran modal syer sehingga tahun 2023, manakala permohonan bagi tahun 2024 dalam proses pelaksanaan pembayaran secara berperingkat mengikut giliran dan keupayaan aliran tunai semasa.

“Pada Julai lalu, kita sudah buat pembayaran habis untuk tahun 2023.

“Yang tinggal sekarang ialah 2024 dan 2025 dan akan dibayar mengikut sistem penggiliran, pada masa sama kita juga mengutamakan bayaran keperluan mendesak seperti perubatan, pendidikan, hartanah, umrah/haji/keperluan agama”.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette bagi mengulas tindakan sekumpulan ahli yang mengadakan demonstrasi di luar bangunan KPF hari ini, mendakwa wang hasil jualan saham sejak 2024 masih belum diterima.

Menurut Banuri, pelaksanaan bayaran pengeluaran modal syer dibuat berdasarkan proses yang telah diluluskan setiap tahun serta tertakluk kepada struktur dan fungsi koperasi.

Pengerusi Koperasi Permodalan Felda Malaysia (KPF), Datuk Mohd Banuri Aris

“Ini adalah proses yang diluluskan setiap tahun. Kita tidak boleh buat bayaran secara ‘one shot’ kerana kita bukan institusi perbankan. Kita bukan bank, tetapi sebuah koperasi yang melabur dan menjana pendapatan,” ujar beliau.

“Kita ada buat pelan pelaburan dan untuk kecairan aset, namun KPF harap anggota faham proses menukar aset pelaburan kepada kecairan memerlukan tempoh masa tertentu.

Beliau menjelaskan, sebagai koperasi, KPF perlu mengimbangi antara keperluan pembayaran pengeluaran modal syer dan kelangsungan perniagaan bagi memastikan pulangan berterusan kepada anggota.

“Setiap tahun kita sediakan peruntukan tertentu untuk pengeluaran modal syer dan pada masa sama kita perlu pastikan ada dana untuk perniagaan supaya boleh jana pendapatan bagi tahun berikutnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Banuri berkata, pelan perancangan dan pelaburan KPF telah dimaklumkan secara menyeluruh kepada anggota melalui Mesyuarat Agung Kawasan (MAK) dan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT).

“Kita ada pelan perancangan, pelan pelaburan dan kaedah pembayaran. Semua ini telah diperjelaskan kepada anggota di 43 kawasan wilayah FELDA. Apabila maklumat lengkap diberikan, sebenarnya anggota faham dan jelas,” katanya.

Menurut beliau, sejak Januari lagi, KPF telah membentangkan kronologi dan mekanisme pelaksanaan bayaran kepada anggota melalui mesyuarat kawasan sebelum dimaklumkan secara rasmi dalam mesyuarat agung tahunan.

“Kronologi ini memang kita ikut, bermula dengan makluman di mesyuarat kawasan, kemudian mesyuarat agung. Semua ini telah diketahui anggota,” katanya.

Banuri turut memaklumkan setakat ini, hanya sebahagian kecil anggota yang memohon pengeluaran modal syer.

“Sebenarnya kurang 17 peratus sahaja anggota yang memohon untuk mengeluarkan dana mereka, manakala lebih 83 peratus lagi kekal sebagai pelabur setia dan mengharapkan pulangan dividen tahunan yang baik dan munasabah,” tambah beliau.

Pengerusi Koperasi Permodalan Felda Malaysia (KPF), Datuk Mohd Banuri Aris

Jelasnya, realiti itu menuntut pengurusan KPF untuk melaksanakan pengurusan kewangan secara berdisiplin bagi melindungi kepentingan majoriti anggota.

“Sejak 2004, apa yang kita buat bersama pengurusan ialah mengagihkan dana secara seimbang. Ada dana untuk pulangan, dan ada dana untuk perniagaan.

“Perniagaan ini penting kerana kita nak beri pulangan pula kepada pelabur yang setia pada tahun berikutnya,” katanya.

Mengulas keutamaan pembayaran, Banuri berkata KPF memberi keutamaan kepada permohonan melibatkan keperluan mendesak dan kritikal, tertakluk kepada dokumen sokongan yang lengkap.

“Kita utamakan kes umrah, haji, keperluan agama, perubatan, pendidikan, perumahan dan hartanah. Semua ini perlu ada dokumen sokongan kerana kita terikat dengan sistem dan kekangan aliran tunai,” katanya lagi.

Tegas beliau, pengeluaran modal syer tidak boleh dilaksanakan secara bebas seperti institusi kewangan kerana ia tertakluk kepada peruntukan undang-undang serta aturan koperasi yang telah diluluskan oleh mesyuarat agung.

Walaupun berdepan kekangan aliran tunai, Banuri berkata prestasi kewangan KPF bagi tahun 2025 diunjurkan bertambah baik dengan sumbangan daripada sektor perladangan, pelaburan korporat, hartanah, perkhidmatan ar-rahnu dan pembiayaan.

“Kita komited untuk menyantuni semua permohonan anggota, tetapi pelaksanaan secara penggiliran adalah perlu bagi memastikan kelestarian koperasi dan melindungi kepentingan jangka panjang anggota,” katanya.

Beliau berkata, KPF menghargai kesabaran dan kepercayaan anggota serta akan terus mengurus pembayaran pengeluaran modal syer dan dividen secara bertanggungjawab dan telus.

Terdahulu, MalysiaGazette menemui hampir 50 ahli KPF dari seluruh negara berhimpun bagi menyuarakan rasa tidak puas hati kerana mendakwa masih belum menerima bayaran hasil penjualan saham mereka sejak 2024.

Seorang pesara dari Negeri Sembilan, Syed Alwi Syed Shariff mendakwa perhimpunan itu melibatkan pelabur yang telah menjual saham masing-masing namun masih menunggu bayaran, malah ada yang mendakwa menunggu hampir dua tahun.

“Kami datang dari seluruh negara, termasuk Sabah, Timur dan Selatan. Harapan kami satu sahaja, KPF bayar segera wang hasil penjualan saham kami,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan yang hadir terdiri daripada warga emas yang memerlukan wang berkenaan untuk kelangsungan hidup.

Syed Alwi turut mendakwa pelbagai usaha telah dibuat sebelum ini termasuk pertemuan di Bangi pada November 2024 serta laporan polis, namun masih tiada penyelesaian.

“Kami dah tua, duit yang kami labur hampir 30 tahun masih tak dapat. Kami kecewa dan berharap kerajaan, termasuk Perdana Menteri, dapat campur tangan,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast