KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mempertimbangkan semula kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan tanpa penglibatan DAP.
Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia, A’zlan Abu Bakar berkata, rundingan perlu dilakukan semula bersama parti yang setia kepada prinsip ketuanan Perlembagaan Persekutuan, menghormati semua kaum dan demi kestabilan negara.
“Dalam semangat demokrasi berparlimen dan demi menjaga maruah serta keharmonian politik, parti-parti yang kini membentuk kerajaan mempertimbangkan pilihan alternatif untuk membentuk kerajaan tanpa penglibatan DAP.
“Parti-parti politik lain harus bersama-sama menilai kembali hala tuju dan kesan kehadiran DAP dalam Kerajaan Perpaduan, terutamanya apabila terdapat tindakan dilihat mencetuskan perasaan tidak senang dalam kalangan rakyat serta parti komponen.
“Parti yang hendak diteruskan mestilah parti yang bertanggungjawab, sensitif kepada sentimen rakyat dan mampu menyatukan, bukan memecah-belahkan,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
Semalam, Setiausaha Publisiti DAP merangkap Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin memuat naik hantaran di akaun Facebook miliknya berbunyi; ‘Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini’.
Dalam hantaran sama, Bee Yin juga memuat naik pautan berita portal mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak berkenaan Titah Adendum tahanan di rumah.
Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tidak pernah dibincang mahupun diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu.
Dalam pada itu, A’zlan juga berkata, rakyat Malaysia berhak melihat sebuah kerajaan yang berfungsi demi kesejahteraan sejagat dan bukan sebagai platform provokasi politik yang merosakkan keharmonian.
“Kita menyeru semua pihak untuk tampil dengan keberanian dan prinsip demi masa depan negara yang lebih bersatu,” katanya.
Menurut A’zlan, kenyataan pemimpin DAP itu mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan pelbagai pihak, termasuk pemimpin UMNO dan parti lain yang dianggap tidak sensitif serta sesuai dalam konteks kerjasama politik dalam Kerajaan Madani.
“Kenyataan yang terang-terangan meraikan kegagalan pihak lain merupakan suatu tindakan tidak menghormati sensitiviti politik serta keharmonian hubungan antara parti komponen dalam kerajaan.
“Kritikan terhadap tindakan ini turut menekankan pentingnya sikap berhati-hati dan penuh adab dalam setiap kenyataan wakil rakyat terutama dalam suasana kerajaan perpaduan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

















Anthony mesti arah bee yin letak jawatandan dihadapkan ke mahkamah kerana menghina