Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, merangkap Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang mendesak kepimpinan tertinggi UMNO menarik sokongan sepenuhnya daripada Kerajaan Persekutuan, sekali gus menumbangkan Kerajaan Perpaduan tanpa berdolak-dalih.

Ketuanya, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, UMNO tidak boleh terus bersekongkol dengan sebuah kerajaan ditunjangi parti cauvinis DAP yang gagal mempertahankan prinsip keadilan dan tidak menjunjung titah Raja-Raja Melayu.

“Saya selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang secara terbuka dan berani menuntut agar UMNO menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Persekutuan dengan serta-merta.

“UMNO tidak boleh terus bersekongkol dengan sebuah kerajaan yang enggan memberikan penjelasan jujur kepada rakyat hingga sanggup mengorbankan kepercayaan akar umbi demi kelangsungan kuasa.

“Cukup-cukuplah UMNO dipermainkan dan dikhianati parti cauvinis DAP, bila diperlukan, boleh pula akur titah Raja-Raja Melayu, bila pengaruh mula hilang di Sabah, titah Istana pula dikesampingkan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, Setiausaha Publisiti DAP merangkap Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin memuat naik hantaran di akaun Facebook miliknya berbunyi; ‘satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini’.

Dalam hantaran sama, Bee Yin juga memuat naik pautan berita portal mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak berkenaan Titah Adendum tahanan di rumah.

Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tidak pernah dibincang mahupun diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, merangkap Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail

Fariz selaku Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga menegaskan, parti Melayu itu tidak memperjuangkan sosok tubuh bekas Presidennya semata-mata.

Sebaliknya kata Fariz, penghinaan pemimpin DAP itu cuba mencalarkan maruah UMNO dengan memperalatkan institusi tertentu untuk menafikan keadilan Najib yang banyak jasa dan menyumbang kepada negara dan rakyatnya.

“UMNO tidak dilahirkan untuk menjadi parti yang tunduk, takut atau diperalatkan. Saya menyeru seluruh jentera Pemuda, bahagian-bahagian UMNO dan ahli di peringkat akar umbi agar bangkit menyatakan pendirian dengan jelas dan lantang.

“Jika UMNO terus berdiam diri, UMNO akan dihukum oleh ahli dan rakyat sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Fariz mendesak semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada UMNO untuk meletakkan jawatan serta-merta, tanpa berlengah dan mencari alasan.

“Tiada sebab untuk UMNO terus duduk di dalam sebuah kerajaan yang mengorbankan maruah parti, meminggirkan suara akar umbi dan membiarkan institusi keadilan dipersoalkan tanpa ketegasan,” katanya.

Beliau turut mendesak pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) secepat mungkin.

“Hanya dengan mandat baharu, negara dapat keluar daripada episod kepimpinan yang tempang dan kembali menuju arah yang jelas.

“Lebih baik UMNO berdiri tegak sebagai pembangkang bermaruah daripada terus hidup sebagai kerajaan yang kehilangan prinsip. Cukuplah berkompromi. Cukuplah berdiam diri. Masa untuk UMNO membuat keputusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast