Datuk Seri Mohamad Hassan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui beliau juga tidak sabar ‘meraikan’ keputusan mahkamah berhubung projek terowong Pulau Pinang yang kononnya bakal dirasmikan tahun depan.

“Saya pun tunggu nak celebrate (raikan) apabila Mahkamah Tinggi merasmikan terowong Pulau Pinang, mungkin pertengahan 2026,” katanya di Facebooknya hari ini.

Mohamad menulis demikian dipercayai menyindir Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin susulan kenyataan ‘meraikan’ keputusan Datuk Seri Najib Razak kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang semalam.

Menteri Luar mengakui beliau juga tidak sabar ‘meraikan’ keputusan mahkamah berhubung projek terowong Pulau Pinang yang kononnya bakal dirasmikan tahun depan.

Terowong Pulau Pinang yang dimaksudkan Menteri Luar itu merujuk projek terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.7 bilion yang terpalit kes rasuah membabitkan Penasihat DAP, Lim Guan Eng.

Semalam, Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong memuat naik hantaran berbunyi: ‘Another reason to celebrate this year end’ (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini) yang dipaparkan bersama pautan berita sebuah portal bertajuk ‘No house arrest for Najib’ (tiada tahanan rumah untuk Najib).

Hantaran Bee Yin menyebabkan ramai pimpinan UMNO terasa dan membuat kenyataan balas termasuk bersedia melihat semula kerjasama dengan DAP yang kini Bersama membentuk kerajaan.

Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching membuat keputusan berkenaan setelah berpuas hati bahawa isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut, dibincang mahupun diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast