GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melakukan pelbagai usaha ganti rugi dan inisiatif kebajikan bagi membantu nelayan yang terkesan akibat pelaksanaan projek penambakan Pulau Silikon.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, pelbagai langkah telah dilaksanakan di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial Projek Pulau Silikon (SIMP) untuk manfaat golongan nelayan terlibat sepanjang 26 bulan pelaksanaan projek penambakan Pulau Silikon.
Antara inisiatif utama termasuk pemberian bantuan bot dan enjin secara berperingkat, bayaran ex-gratia kepada nelayan berdaftar, latihan kemahiran serta bantuan pendidikan kepada anak nelayan.
“Kesemua inisiatif ini dilaksanakan selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan nelayan tidak terpinggir sepanjang tempoh perancangan dan pelaksanaan pembangunan.
“Kita turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Perikanan (DOF) serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi memperkasa ekonomi nelayan dan membela kebajikan mereka.
“Maklum balas berhubung isu pelesenan, bantuan serta kebajikan nelayan telah diperjelaskan oleh DOF dan LKIM berdasarkan data serta prosedur sedia ada,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, isu yang dibangkitkan Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau dalam satu sidang media pada Ahad lalu adalah tidak berasas dan berpunca daripada salah faham nelayan terlibat, selain perkongsian mereka telah dipergunakan oleh pihak tertentu untuk tujuan politik.
“Pihak LKIM telah diminta memberi penjelasan secara bersemuka kepada nelayan yang terlibat bagi memperjelaskan perkara ini.
“Kerajaan negeri turut mengambil maklum satu laporan polis yang dibuat oleh Ketua Unit Nelayan Teluk Kumbar berhubung penganjuran sidang media berkenaan di tapak Pasar Nelayan Teluk Kumbar tanpa kebenaran dan pengetahuan beliau selain menyatakan kenyataan nelayan di lokasi itu tidak mewakili pendirian Unit Nelayan dan dibuat tanpa pengetahuan ketua unit.
“Tuduhan tersebut bersifat prejudis, bermotif politik dan tidak bertanggungjawab kerana memprejudiskan usaha serta inisiatif yang dilaksanakan oleh DOF dan LKIM dalam membela kebajikan nelayan Pulau Pinang, di samping memastikan pematuhan undang-undang dan syarat perlesenan,” katanya.
Fahmi menegaskan Kerajaan Negeri kekal komited memperkasa ekonomi nelayan dan memperjuangkan kebajikan mereka.
“Peranan pembangkang sebagai pihak semak dan imbang perlu dilaksanakan berdasarkan fakta, angka serta kedudukan sebenar pelaksanaan di lapangan,” katanya.
Ahad lalu, ratusan nelayan di daerah Barat Daya mendakwa masih berdepan pelbagai tekanan termasuk kejatuhan hasil tangkapan, peningkatan kos operasi serta kelewatan pampasan yang dijanjikan selepas lebih 26 bulan projek penambakan Pulau Silikon dilaksanakan.
Dominic berkata, walaupun projek penambakan yang bermula pada September 2023 itu dilaksanakan dengan pantas, penyelesaian isu nelayan pula berjalan terlalu perlahan meskipun aduan telah berulang kali dikemukakan. – MalaysiaGazette
















