Para peserta SMK Timbua bersama para fasilitator dalam Program BIOSPARK 2.0 2025: Fueling Curiosity, Powering Discovery.

RANAU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan pelajar sekolah menengah di kawasan pedalaman Sabah menerusi Program BIOSPARK 2.0 2025: Fueling Curiosity, Powering Discovery.

Program itu anjuran Kelab Bioteknologi Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UMS dengan kerjasama U-Science UMS yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Timbua, Ranau baru-baru ini mencerminkan komitmen berterusan UMS terhadap usaha tersebut.

Penyelaras Aktiviti Pelajar Program Bioteknologi, Prof. Madya Dr. Mohd Khalizan Sabullah berkata, program ini dirangka sebagai satu platform pembelajaran bersepadu yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada pelajar sekolah menengah.

“Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar sekolah untuk mengenali bidang bioteknologi dengan lebih dekat, malah memberi peluang kepada pelajar universiti untuk menyumbang kepada pendidikan komuniti, sekali gus mampu memperkukuh kemahiran komunikasi, kepimpinan dan penyampaian ilmu secara berkesan dalam kalangan pelajar UMS,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Program BIOSPARK 2.0, Nur Allya Mohd Jack memaklumkan, program ini melibatkan penyertaan pelajar Tingkatan 3 SMK Timbua dan disokong oleh seramai 34 orang fasilitator daripada Program Bioteknologi UMS.

“Para fasilitator memainkan peranan penting dalam menjayakan pelbagai aktiviti berkonsepkan pembelajaran interaktif.

“Antara aktiviti tersebut adalah senamrobik, Ceramah 3S: STEM Speaker Series, pertandingan BioTECH Olympiad, latihan berkumpulan serta pameran sains yang disampaikan secara santai dan mudah difahami,” katanya.

Pihak sekolah juga katanya, menyambut baik kerjasama yang dijalinkan kerana program yang dijalankan memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan aktiviti dan demonstrasi sains yang menyeronokkan, sekali
gus meningkatkan minat serta kefahaman mereka terhadap bidang STEM.

Kerjasama strategik antara UMS, U-Science UMS dan SMK Timbua diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh pembangunan pendidikan STEM di peringkat sekolah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast