KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei menuntut polis segera memulangkan perakam CCTV dan menyiarkan rakaman video serbuan tersebut supaya dia dan ahli keluarga mendapat keadilan yang sewajarnya.
“Saya turut menggesa pihak polis dan Peguam Negara segera menangkap dan menuduh pegawai SPRM (Suruhanjaya Pencagahan Rasuah Malaysia) yang terlibat dalam kejadian tersebut ke muka pengadilan dengan tanpa sebarang penutupan atau penyembunyian kes.
“Kelewatan keadilan adalah keadilan yang diabaikan,” katanya dalam kenyataan.
Albert juga bertanya kepada pihak polis di mana rekoder perakam CCTV berada ketika ini dan bila rakaman video serbuan pegawai SPRM di rumah akan didedahkan secara umum.
Dalam pada itu, Albert berkata, dia sekali lagi hadir hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang hari ini untuk memberi keterangan berhubung laporan terhadap pegawai SPRM mengacukan pistol terhadapnya dan ahli keluarga semasa serbuan di rumah pada 28 November lalu.
“Saya telah dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kanan yang bertanggungjawab bahawa pihak Bukit Aman telah mengemukakan beberapa soalan baru yang berkaitan dengan siasatan dakwaan tersebut.
“Saya ingin menekankan bahawa pihak polis telah merekod keterangan saya sebanyak empat kali termasuk hari ini,” katanya.
Menurutnya, isteri, ibu mentua serta pembantu rumah warga asing yang juga diacukan pistol oleh pegawai SPRM telah dirakam keterangan pada minggu lepas.- MalaysiaGazette















