GEORGE TOWN – Tiga lelaki warga Indonesia yang terapung di laut kira-kira dua hari selepas bot dinaiki terbalik akibat cuaca buruk, diselamatkan sebuah kapal tangki, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian berkenaan daripada Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi kira-kira jam 9 malam.
Menurutnya, kapal tangki, MT Orkim Harmony telah menyelamatkan tiga mangsa berusia antara 31 hingga 41 tahun itu di Perairan Pulau Indah, Selangor.
“Laporan awal daripada nakhoda kapal memaklumkan ketiga-tiga mangsa dipercayai keluar ke laut pada 20 Disember lalu bagi aktiviti memancing sebelum bot dinaiki terbalik akibat cuaca buruk pada hari sama.
“Mangsa dipercayai terapung di laut selama kira-kira dua hari sebelum ditemui dan diselamatkan oleh kapal berkenaan,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Tambah Muhammad Suffi, hasil semakan mendapati kesemua mangsa berasal dari Dumai, Indonesia.
“Sebuah bot peronda Maritim Negeri Pulau Pinang diatur gerak ke kawasan Anchorage Area bagi mengambil mangsa daripada kapal tangki terbabit sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang.
“Kesemua mangsa akan diambil rakaman keterangan dan seterusnya diserahkan kepada pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KONJEN) bagi urusan dokumentasi,” katanya. – MalaysiaGazette















