Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kuota sebanyak 30,000 bagi pengurusan permohonan penggajian tenaga kerja asing bagi sektor perkhidmatan bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah menghampiri had yang ditetapkan.

Sehubungan itu, permohonan melalui Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan ditutup lebih awal iaitu mulai 26 Disember 2025.

Jelas KDN, ia bagi memastikan pengurusan permohonan dilaksanakan secara teratur dan selaras dengan ketetapan kuota yang diluluskan.

Bagaimanapun, permohonan kuota penggajian pekerja asing bagi sektor dan subsektor lain yang dibenarkan masih dibuka sehingga 31 Disember 2025, tertakluk pada ketetapan sedia.

“Oleh itu, semua majikan yang berhasrat untuk menggajikan pekerja asing bagi sektor berkenaan hendaklah memastikan permohonan dikemukakan sebelum tarikh penutupan yang ditetapkan, tertakluk pada syarat dan peraturan yang sedang berkuat kuasa,” kata KDN dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pihak majikan boleh merujuk laman sesawang rasmi KDN dan KPDN, serta hebahan rasmi yang dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi kerajaan, untuk maklumat lanjut. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast