Gambar hiasan.

SUBJEK Mata Pelajaran Umum (MPU) sering dilihat sebagai kursus pelengkap dalam struktur akademik pengajian tinggi di seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Namun di sebalik persepsi tersebut, MPU sebenarnya menggalas peranan yang jauh lebih besar daripada apa yang difikirkan oleh sesetengah individu.

MPU merupakan wasilah bagi membentuk sikap, cara fikir dan kefahaman mahasiswa terhadap diri, masyarakat dan negara. Pelaksanaan Training of Trainer (ToT) bagi Mata Pelajaran Umum (MPU) memperlihatkan keperluan untuk menilai secara kritis tentang rasional kewujudan MPU serta cabaran pelaksanaannya dalam landskap pendidikan tinggi Malaysia yang semakin kompleks dan dinamik.

Menurut  Datuk Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar, silibus yang disediakan dalam subjek MPU bersifat luas dan inklusif.

Idea-idea yang disampaikan kepada pelajar tidak terhad kepada satu disiplin ilmu atau sudut pandang yang sempit sebaliknya mengajak pelajar berfikir dalam kerangka yang lebih besar iaitu tentang kemanusiaan, peradaban dan realiti semasa.

Apabila pelajar didedahkan kepada idea yang luas, pemikiran mereka turut berkembang menjadi lebih terbuka dan tidak terperangkap dalam satu bidang pengkhususan semata-mata.

Ia merupakan salah satu kekuatan utama MPU, iaitu dapat membantu pelajar melihat sesuatu ilmu dari pelbagai perspektif serta menyeluruh.

Dalam konteks pembinaan bangsa pula, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin menegaskan, setiap kursus yang diwujudkan mesti mempunyai alasan dan objektif yang jelas.

MPU tidak boleh dilihat sekadar memenuhi keperluan kredit, tetapi ia perlu difahami sebagai medium pembentukan warganegara. Modul seperti Hubungan Etnik misalnya diwujudkan bagi memberi pendedahan tentang realiti masyarakat majmuk di Malaysia.

Lebih daripada itu, MPU juga bertujuan bagi melahirkan individu yang benar-benar memahami tentang identiti Malaysia dengan baik. Bukan sekadar hidup di negara Malaysia tetapi mampu menghuraikan tentang negara ini kepada orang lain dengan kefahaman yang tepat.

Seorang graduan universiti seharusnya bukan sahaja mahir dalam bidang yang dikaji tetapi juga berupaya menjadi duta pemikiran negara bangsa.

Salah satu matlamat besar MPU ialah melahirkan pelajar yang berfikir secara holistik.

Datuk Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar menjelaskan, pendidikan universiti tidak seharusnya melahirkan individu yang minatnya terbatas pada satu bidang sahaja.

Sebaliknya, minat terhadap cabang-cabang ilmu lain perlu dipupuk agar pelajar mampu mengaitkan antara ilmu yang diminati dengan realiti kehidupan.

Namun, pemupukan minat ini tidak berlaku secara automatik. Ia memerlukan kepada tenaga pengajar yang benar-benar berminat dan memahami matlamat dan objektif MPU itu sendiri bukan sekadar melaksanakan amanah kerana diarahkan oleh universiti.

Isu kekurangan tenaga pengajar MPU juga tidak boleh dipandang ringan.

Dengan jumlah pelajar MPU yang mencecah lebih satu juta di seluruh negara, keperluan kepada tenaga pengajar yang berkualiti adalah mendesak.

Oleh itu, setiap institusi pengajian tinggi perlu menubuhkan pasukan MPU yang khusus, lengkap dengan penyelaras yang bekerja rapat dengan pihak pengurusan tertinggi universiti. Mereka yang mempunyai minat yang tinggi untuk mengajar subjek MPU perlu dikenal pasti dan sekiranya terdapat kekurangan dari sudut ilmu, latihan yang sistematik boleh diberikan.

Minat yang tinggi disokong dengan latihan yang baik semestinya mampu melahirkan tenaga pengajar bagi subjek MPU yang berkesan.

Dalam masa sama, pendekatan pengajaran MPU juga perlu diperbaharui. Pelajar tidak seharusnya digerunkan dengan istilah seperti ‘falsafah’, ‘metafizik’ dan sebagainya.

Falsafah bukan sesuatu yang abstrak dan sukar jika diajar dengan bahasa yang mudah. Ia menuntut kepada latihan pengajaran yang kemas serta sokongan institusi dari segi kemudahan dan sumber bahan mengajar.

Selain itu, rasional pengenalan kursus seperti Falsafah dan Isu Semasa (FIS) pula lahir daripada kesedaran bahawa dunia hari ini berubah dengan pantas.

Isu-isu semasa perlu dibincangkan daripada perspektif yang lebih luas dan inklusif, merangkumi pemikiran Timur dan Barat bukan terhad kepada satu tradisi sahaja.

Cabaran baharu dalam sains dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) turut menuntut kepada perbahasan etika yang serius. AI secara realitinya membawa banyak manfaat dan kemudahan kepada pelbagai lapisan masyarakat namun pada masa yang sama ia juga membuka ruang kepada penyalahgunaan yang perlu difahami dan ditangani secara kritis.

Di samping itu, dialog antara budaya, kaum atau agama menjadi teras penting dalam pendidikan MPU.

Dalam realiti masyarakat majmuk seperti Malaysia, dialog bukan sekadar interaksi sosial, tetapi  ia dikira sebagai medium pertemuan minda dan nilai antara bangsa serta kaum.

Melalui dialog, pelajar dididik untuk mencari titik temu tentang sesuatu isu, memahami perbezaan dan membina pendamaian dengan jalan penyelesaian yang terbaik. Inilah asas kepada pembentukan negara bangsa yang matang.

Walaupun masyarakat yang berbeza latar budaya dan agama tetapi mampu hidup bersama berlandaskan kefahaman dan saling menghormati.

Kesimpulannya, MPU bukan sekadar subjek wajib tetapi ia juga merupakan wahana strategik pembinaan pemikiran, jati diri dan kenegaraan pelajar.

Cara penglihatan dan pelaksanaan MPU perlu berubah, daripada keperluan kurikulum kepada keperluan bangsa.

Apabila MPU diberi tempat yang sewajarnya, ia berupaya melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, tetapi juga matang, berfikiran holistik dan bersedia menghadapi cabaran dunia yang sentiasa berubah.

Muhammad Afif Zakwan Azhar

Muhammad Afif Zakwan Azhar, General Studies Department, CCE, Sunway College

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast