Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tindakan polis Kelantan merujuk seorang remaja perempuan bawah umur dalam kes rogol `suka sama suka’ di bawah undang-undang Syariah adalah selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Malah, Peguam Syarie, Nik Saiful Adli Burhan berkata, ia juga memenuhi tujuan lebih besar undang-undang iaitu memelihara keharmonian sosial, nilai moral masyarakat dan kesejahteraan awam.

Tambahnya, tindakan itu juga mencerminkan falsafah undang-undang yang bukan sahaja bersifat menghukum, tetapi juga preventif dan rehabilitatif.

Peguam Syarie, Nik Saiful Adli Burhan
Nik Saiful Adli Burhan

“Dari sudut tujuan undang-undang, rujukan kepada badan penguat kuasa agama bukan bertujuan menghukum semata-mata, tetapi untuk menjaga kepentingan masyarakat dan memulihkan moral melalui pendekatan kaunseling, nasihat, pemulihan akhlak dan pencegahan berulang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja perempuan bawah umur yang terbabit kes rogol melalui hubungan ‘suka sama suka’ akan dikenakan tindakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata langkah itu berkuat kuasa Oktober lalu susulan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan JAHEAIK bagi menangani isu berkenaan.

Malah, kata beliau, sejak dua bulan lalu, pihaknya sudah merujuk lima remaja perempuan bawah umur yang terbabit kes rogol ‘suka sama suka’ untuk diambil tindakan oleh JAHEAIK.

Bagaimanapun, tindakan polis Kelantan itu dipersoalkan beberapa pihak yang mendakwa kes sedemikian terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan, dan boleh dianggap diskriminasi apabila orang Islam di Kelantan menerima layanan berbeza berbanding orang Islam di negeri lain.

Menjelaskan lebih lanjut, Nik Saiful Adli berkata, berdasarkan Seksyen 3 Akta Polis 1967, tujuan penubuhan dan fungsi polis adalah untuk memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekalkan keamanan dan keselamatan negara serta mencegah dan mengesan jenayah.

Ujarnya, peruntukan itu menunjukkan bahawa peranan polis tidak terhad kepada aspek siasatan jenayah dan pendakwaan semata-mata, tetapi merangkumi usaha yang lebih luas untuk menjaga kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

Selain itu, menurut beliau, Seksyen 20 Akta Polis 1967 dengan jelas memperuntukkan bahawa tugas am polis meliputi penguatkuasaan mana-mana undang-undang dan tidak terhad kepada Akta Polis sahaja.

Peruntukan itu, ujarnya, memberikan asas undang-undang yang kukuh kepada polis untuk bekerjasama dan merujuk kes kepada badan penguat kuasa lain yang mempunyai bidang kuasa khusus, termasuk pihak berkuasa agama negeri seperti JAHEAIK.

“Dalam sistem perundangan Malaysia yang mengiktiraf kewujudan undang-undang Syariah bagi orang Islam, rujukan sedemikian merupakan satu bentuk pelaksanaan tugas polis yang sah, kerana ia memastikan sesuatu kes ditangani oleh institusi yang mempunyai kepakaran dan kuasa undang-undang yang bersesuaian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast