KUALA LUMPUR – Desakan dan kritikan pemimpin UMNO susulan keputusan mahkamah bersabit kes titah adendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja pelik, malah berbaur cubaan menekan sistem kehakiman.
Meskipun menyedari kekecewaan itu, namun, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bera, Norman Daud berpendapat, keputusan mahkamah dibuat berdasarkan fakta dan undang-undang dan bukannya kehendak politik sesiapa.
Malah, ujarnya, dalam demokrasi matang, kerajaan dan parti politik tidak berhak mencampuri urusan mahkamah.
Sehubungan itu, tambahnya, desakan dan tekanan oleh pemimpin UMNO berkenaan menghantar mesej bahawa ada pihak yang mahu mahkamah tunduk kepada kehendak politik, bukan berdiri atas fakta dan undang-undang.
“Kalau kita faham perundangan dan prinsip pemisahan kuasa dalam sistem demokrasi berparlimen, jelas bahawa eksekutif tidak sepatutnya mencampuri urusan kehakiman.
“Mahkamah bukan alat politik untuk ditekan, diarah atau dibeli. Ia adalah benteng terakhir untuk memastikan undang-undang ditegakkan tanpa pilih kasih, tanpa mengira siapa yang menang atau kalah.
“Sekiranya prinsip ini diganggu, seluruh sistem demokrasi akan rapuh, dan rakyatlah yang rugi,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Sementara itu, Norman turut mengingatkan yang mana sekiranya campur tangan politik berlaku dalam sistem kehakiman kita, ia boleh memberi kesan yang serius dan panjang.
Menurutnya, rakyat akan hilang kepercayaan kepada mahkamah dan akan mula meragui setiap keputusan, walaupun ia benar dan berdasarkan undang-undang.
Selain itu, tambahnya, sistem demokrasi juga akan terhakis apabila mahkamah yang ditekan tidak lagi boleh menahan kerajaan daripada melampaui kuasa, sekali gus undang-undang akan menjadi alat politik, bukan alat keadilan.
Dalam masa sama, menurutnya, ia membuka ruang kepada ketidakstabilan sosial termasuk rakyat akan hilang keyakinan terhadap institusi negara, konflik dan ketegangan politik akan meningkat dan penyelesaian aman terhadap pertikaian akan semakin sukar.
“Jangan biarkan suara kekecewan merosakkan integriti mahkamah dan merendahkan martabat institusi yang sepatutnya menjadi penjaga keadilan rakyat.
“Sekali mahkamah kehilangan kebebasannya, seluruh keadilan negara akan terancam,” katanya.
Tegas beliau, budaya sedemikian dalam demokrasi negara perlu dihapuskan meskipun ia mungkin pernah diamalkan sebelum ini, dengan keluhuran Perlembagaan dan undang-undang perlu diangkat demi Malaysia yang lebih baik. – MalaysiaGazette
















